fb fb fb fb fb

Australia mohon pengecualian tarif AS

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese/ Foto Reuters

SYDNEY, 12 Februari - Australia tidak bercadang bagi membalas tarif baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport keluli dan aluminium negara itu, sebaliknya berusaha mendapatkan pengecualian, menurut kerajaan pada Rabu.

Presiden AS Donald Trump pada Isnin menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium dari pelbagai negara, termasuk Australia yang akan berkuat kuasa mulai 12 Mac.

Selepas mengadakan panggilan telefon dengan Trump, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata mereka telah bersetuju bahawa permohonan pengecualian tarif bagi Australia masih dalam pertimbangan.

Ketika ditanya sama ada Australia akan bertindak balas jika permohonan itu ditolak, Menteri Kewangan Jim Chalmers berkata: “Itu bukan sesuatu yang sedang kami pertimbangkan.”

"Keutamaan kami adalah untuk mendapatkan pengecualian bagi industri dan pekerja di Australia," katanya kepada penyiar nasional ABC pada Rabu.

Australia bukan pemain utama dalam pasaran eksport keluli global, namun merupakan pengeksport utama bijih besi, dengan sebahagian besar dihantar ke China.

Canberra menekankan hubungan pertahanan dan diplomatik yang erat dengan Washington, selain menyatakan bahawa AS menikmati lebihan dagangan dengan Australia.

Menurut kerajaan, eksport Australia menyumbang satu peratus daripada jumlah import keluli AS dan dua peratus daripada import aluminium. - AFP

TETITIA YUSOFF