fb fb fb fb fb

Kemalangan ngeri di Mexico ragut 38 nyawa

FOTO FAIL/REUTERS

MEXICO, 12 Februari - Seramai 38 orang maut dalam kemalangan jalan raya di Mexico pada hujung minggu lalu apabila sebuah trak bertembung dengan sebuah bas, menurut pihak berkuasa pada Selasa.

Kemalangan itu berlaku pada Sabtu di negeri Campeche, tenggara Mexico, dengan 36 mangsa maut dalam bas dan dua lagi di dalam trak, kata Pendakwa Raya Negeri, Jackson Villacis.

Menurut Villacis, keluarga mangsa mendakwa terdapat empat lagi kematian, namun mayat mereka masih belum ditemui.

Ini merupakan angka rasmi pertama bagi kemalangan di Semenanjung Yucatan, di mana trak berkenaan memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan bas yang datang dari arah hadapan.

Kedua-dua kenderaan itu terbakar dan musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut.

Sebelum ini, laporan hujung minggu menyebut jumlah kematian mencecah puluhan orang, tetapi tiada angka rasmi yang diumumkan.

Seramai sembilan orang terselamat dalam insiden itu.

Bas tersebut bertolak dari negeri Tabasco pada Sabtu dan dalam perjalanan menuju ke bandar peranginan pantai Caribbean, Cancun.

Rakaman video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan trak dan bas terbakar, sementara orang ramai menjerit meminta pertolongan.

Kemalangan jalan raya yang melibatkan trak besar di Mexico semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat penyelenggaraan kenderaan yang lemah serta pemandu yang cuai atau bekerja berlebihan.

Dalam satu lagi kejadian ngeri, seramai 54 orang maut di Guatemala pada Isnin selepas sebuah bas terjunam ke dalam gaung selepas merempuh penghadang jalan, menurut pihak berkuasa yang mengemas kini angka korban dengan mengurangkan satu kematian daripada laporan awal. - AFP

TETITIA YUSOFF