fb fb fb fb fb

Australia lulus vaksin klamidia untuk koala

Foto REUTERS

SYDNEY, 10 September -Pihak berkuasa Australia telah meluluskan penggunaan vaksin klamidia untuk koala, menurut para penyelidik pada Rabu.

Ia dalam usaha membendung penyakit kelamin yang kini menjadi punca kira-kira separuh daripada jumlah kematian haiwan ikonik itu.

Vaksin satu dos tersebut dibangunkan saintis dari University of the Sunshine Coast, yang telah menjalankan ujian selama sedekad dalam persekitaran terkawal.

Dengan kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa ubat veterinar, vaksin itu kini boleh dilancarkan secara nasional.

Ketua penyelidik Profesor Peter Timms berkata, penyakit klamidia kini menjadi antara ancaman utama kepada kelangsungan hidup koala liar, terutamanya di kawasan tenggara Queensland dan New South Wales.

"Kadar jangkitan dalam populasi koala liar sering kali mencecah sekitar 50 peratus, dan dalam beberapa kes boleh mencapai setinggi 70 peratus," katanya.

Hasil ujian menunjukkan bahawa vaksin itu dapat mengurangkan kebarangkalian koala dijangkiti semasa tempoh pembiakan, serta menurunkan kadar kematian dalam populasi liar sekurang-kurangnya 65 peratus.

Sebelum ini, satu-satunya rawatan yang ada ialah antibiotik, namun ia memberi kesan negatif kepada sistem pencernaan koala dan tidak memberikan perlindungan jangka panjang terhadap jangkitan semula.

Klamidia pertama kali dikenal pasti dalam populasi koala kira-kira 50 tahun lalu, dan ia menyebabkan kebutaan, jangkitan pundi kencing, kemandulan dan kematian.

Penyakit itu telah memberi kesan besar terhadap populasi koala Australia yang semakin berkurangan. Meskipun sukar untuk mengira bilangan tepat haiwan yang pemalu dan sukar dikesan ini, kerajaan Australia mengklasifikasikan koala sebagai spesies terancam di sepanjang pantai timur.

Program pemantauan kebangsaan Australia menganggarkan terdapat antara 95,000 hingga 238,000 ekor koala di negeri Queensland, New South Wales dan Wilayah Ibu Negara Australia. Manakala 129,000 hingga 286,000 ekor lagi dipercayai hidup di Victoria dan Australia Selatan.

Selain penyakit, populasi koala juga semakin merosot akibat pembangunan bandar, penebangan hutan dan pengurangan habitat semula jadi.

Saintis menyifatkan kadar kepupusan mamalia di Australia sebagai yang tertinggi di dunia, dengan lebih 100 spesies flora dan fauna unik negara itu telah pupus dalam tempoh 123 tahun lalu.

Sebagai langkah pemuliharaan, kerajaan Australia pada Ahad lalu menghentikan aktiviti pembalakan di sebahagian besar kawasan pantai timur bagi mewujudkan habitat perlindungan koala dan menyelamatkan spesies tersebut daripada kepupusan. - AFP

TETITIA YUSOFF