YANGON, 20 Jun 2025 – Pemimpin demokrasi Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-80 dalam tahanan junta tentera, yang kini masih menjalani hukuman penjara selama 27 tahun.
Suu Kyi, yang suatu ketika dahulu menjadi simbol perjuangan demokrasi Myanmar, ditahan selepas rampasan kuasa tentera pada tahun 2021.
Ketika itu beliau mengetuai parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan memainkan peranan penting dalam peralihan negara itu ke arah pentadbiran demokrasi.
Anaknya, Kim Aris, yang kini menetap di United Kingdom, berkata ulang tahun itu bukanlah masa untuk diraikan.
“Ia bukan saat yang menggembirakan. Kami telah belajar untuk bertahan selama ini,” katanya.
Sebagai penghormatan, Aris melakukan larian sejauh 80 kilometer selama lapan hari menjelang ulang tahun ibunya.
Beliau juga berjaya mengumpulkan lebih 80,000 ucapan video daripada penyokong Suu Kyi di seluruh dunia.
Jurucakap junta, Zaw Min Tun, sebelum ini memberitahu, Suu Kyi berada dalam keadaan baik dan menerima pemeriksaan kesihatan berkala.
Pihak junta berjanji akan mengadakan pilihan raya baharu pada penghujung tahun ini, namun ramai bekas penyokong Suu Kyi dijangka memboikot proses itu.
Jika dibebaskan, Kim Aris menjangka ibunya mungkin akan mengundurkan diri daripada peranan kepimpinan politik secara langsung.
“Saya rasa beliau tidak akan kembali ke barisan hadapan politik Myanmar.”katanya. - AFP