KIEV, 19 Februari- Tentera Ukraine dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan pemisah di sokong Rusia di timur Ukraine.
Perkembangan terbaru itu berlaku tatkala kebimbangan berhubung persediaan Rusia menceroboh Ukraine semakin memuncak.
“Akibat tembakan itu, seorang askar Ukraine terbunuh," lapor pusat komunikasi tentera di timur Ukraine.
Terdahulu, tentera Ukraine menyalahkan pemberontak disokong Rusia kerana mencetuskan gelombang serangan baharu yang meningkatkan kebimbangan pencerobohan Rusia terhadap jirannya di barat.
Pusat komunikasi tentera di timur Ukraine melaporkan 66 tembakan berlaku pada pukul 7.00 pagi waktu tempatan, jumlah tertinggi berbanding sebelum ini – manakala pemberontak menyifatkan situasi itu sebagai ‘kritikal’.
Kenyataan sama menyebut, pemberontak telah menggunakan peluru mortar tidak dibenarkan, 82 dan 120 milimeter kaliber di bandar kawasan timur Lugansk dan Donetsk.
“Pasukan tentera berjaya mengawal keadaan dan meneruskan misi menghalang pencerobohan oleh Persekutuan Rusia." kata kenyataan pusat komunikasi itu.
(Gambar diambil pada 16 Februari 2022 menunjukkan sempadan Ukraine-Rusia di lokasi 40 km dari bandar ke-2 terbesar Ukraine, Kharkiv/AFP)
Moscow secara rasmi menafikan penglibatan mereka dalam konflik tersebut dan menyifatkan ia sebagai isu dalaman Ukraine.
Tetapi pemerhati daripada badan keselamatan Eropah, OSCE melaporkan berlaku penghantaran tetap senjata Rusia ke sempadan sejak perang lapan tahun di wilayah itu tercetus.
OSCE melaporkan sebanyak 870 kali pencabulan gencatan senjata besar-besaran dikesan di sepanjang zon konflik, memetik laporan terbaharu badan itu yang dikeluarkan pada Jumaat, merujuk insiden pada Khamis lalu.
“Beberapa hari kebelakangan ini, pemerhati khas OSCE di Ukraine (SMM) mendapati berlaku peningkatan dramatik dalam jumlah serangan di Timur Ukraine,” merujuk kenyataan OSCE itu.
Pemimpin pemberontak menyalahkan pasukan tentera Ukraine kerana cuba merampas semula dua wilayah dikuasai pemisih, perkara yang dinafikan Kiev.
Pemimpin pemberontak di Donetsk pada Sabtu menyifatkan situasi itu ‘kritikal’ dan mengumumkan ‘mobilisasi am’ anggota tenteranya.
Langkah sama turut dilakukan pemimpin pemisah di wilayah yang lebih kecil. -AFP