fb fb fb fb fb

12 penumpang hilang dalam kebakaran feri di Greece



FOTO AFP


CORFU, 19 Februari- 12 penumpang feri masih hilang, manakala dua lagi terperangkap selepas feri terbakar semalaman di Laut Ionia, kata pegawai Greece, ketika kumpulan kru kecemasan bertungkus lumus memadamkan kebakaran dan mencari mangsa yang terselamat sebelum hari semakin gelap.

Menurut pengawal pantai Greece, kumpulan penyelam turut dikerah bagi memperluaskan pencarian mangsa yang hilang selepas 278 orang diselamatkan dan dibawa ke Pulau Corfu berikutan kebakaran di Euroferry Olympia dalam perjalanan dari Greece ke Itali.

Api masih marak pada petang Jumaat, beberapa jam selepas kebakaran itu berlaku di Pulau Ereikousa antara Greece dan Albania.

Pihak berkuasa berkata, punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti.

Menurut stesen televisyen kerajaan, ERT, 10 mangsa yang diselamatkan dibawa ke hospital dan mereka mengalami kesukaran bernafas dan hanya cedera ringan.

Bagaimanapun, masih ada beberapa orang mangsa yang tidak dapat dikesan dengan sembilan daripadanya dari Bulgaria.

"Operasi untuk mengesan 12 penumpang yang hilang sedang dijalankan," kata pengawal pantai Greece dalam satu kenyataan.

Pasukan penyelamat khas Greece berjaya naik ke kapal itu lebih 12 jam selepas kebakaran berlaku.

Menurut pemilik feri Grimaldi Lines, lima penumpang yang hilang telah 'dikesan di atas kapal' dan usaha memindahkan mangsa sedang dijalankan.

Bagaimanapun, menurut pengawal pantai Greece, pihaknya menyedari hanya dua penumpang di atas kapal, yang dikenal pasti oleh syarikat pengangkutan Bulgaria sebagai pemandu trak Bulgaria dan Turki.

Kedua-dua penumpang itu dikatakan cuba menuju ke geladak feri.

Grimaldi Lines berkata, kapal itu membawa 239 penumpang, 51 anak kapal, selain 153 trak dan treler serta 32 kenderaan penumpang.

Visual yang dipaparkan di televisyen menunjukkan api marak di atas kapal itu menyebabkan kepulan asap hitam menyelubungi ruang udara.

"Kapal itu terbakar dari hujung ke hujung. "Terdapat sejumlah besar asap dan jarak penglihatan adalah buruk. Kami tidak melihat sebarang pergerakan di geladak, hanya api," kata penyelamat Corfu Yiorgos Glikofridis kepada ERT dari sebuah kapal berhampiran feri.

Kementerian Luar Bulgaria berkata, terdapat 127 warganya dalam senarai penumpang, termasuk 37 orang pemandu trak.

Menurut stesen televisyen NTV, 24 orang mangsa berasal dari Turki, manakala ERT melaporkan seramai 21 rakyat Greece yang berada dalam kapal berkenaan. - AFP

Sementara itu, pencarian diteruskan dengan pasukan penyelamat menjalankan misi berterusan sehingga awal pagi pada hari Sabtu di Laut Ionia di sini.

"Semalaman, kapal peronda menyisir kawasan di luar pulau percutian dengan harapan untuk mencari mangsa yang terselamat," kata pengawal pantai Greece. -AFP

Media Baharu