WASHINGTON, 27 Ogos – Seorang askar Amerika Syarikat (AS) yang melarikan diri ke Korea Utara tahun lalu mengaku bersalah atas tuduhan "pengabaian tugas"di mahkamah tentera sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan bersalah, kata peguamnya.
Prebet Kelas Kedua, Travis King melintasi sempadan dari Korea Selatan ke Korea Utara pada Julai tahun lalu ketika menyertai lawatan ke Zon Demilitarisasi (DMZ) yang membahagikan Semenanjung Korea.
Pada September, Korea Utara mengusir King dan kemudian mendakwanya atas tuduhan pengabaian tugas serta beberapa jenayah lain.
Menurut peguam King, Frank Rosenblatt, pada Isnin, Tentera AS telah mendakwa King dengan 14 kesalahan dan King akan mengaku bersalah atas lima daripada kesalahan tersebut.
"Dia akan mengaku bersalah atas lima kesalahan, termasuk pengabaian tugas, tiga tuduhan tidak mematuhi arahan pegawai dan serangan terhadap seorang pegawai tanpa tauliah," kata Rosenblatt dalam satu kenyataan.
"King akan mengaku tidak bersalah atas baki kesalahan lain, yang mana tentera akan menarik balik dan membatalkan."
Pengakuan bersalah dan sesi hukuman King dijadualkan berlangsung pada 20 September di mahkamah tentera di Fort Bliss, Texas, menurut peguamnya.
"Di sana, King akan menjelaskan tindakannya, menjawab soalan hakim tentera mengenai sebab dia mengaku bersalah dan menerima hukuman," tambah Rosenblatt.
Kesalahan pengabaian tugas boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun.
"Travis berterima kasih kepada rakan-rakan dan keluarga yang telah menyokongnya, serta kepada semua yang tidak membuat penilaian awal berdasarkan dakwaan awal," kata peguamnya.
Ketika kejadian, King telah ditempatkan di Korea Selatan dan selepas terlibat dalam pergaduhan di bar dalam keadaan mabuk serta dipenjarakan di Korea Selatan, dia dijadualkan pulang ke Texas untuk menghadapi perbicaraan disiplin.
Namun, sebaliknya, King meninggalkan lapangan terbang di Seoul, menyertai lawatan ke DMZ dan melintasi sempadan yang diperketatkan di mana dia ditahan oleh pihak berkuasa Korea Utara.
Pyongyang sebelum ini menyatakan bahawa King berpaling tadah ke Korea Utara untuk melarikan diri daripada "layanan buruk dan diskriminasi kaum dalam Tentera AS."
Namun, selepas menjalankan siasatan, Korea Utara "memutuskan untuk mengusir" King pada bulan September kerana menceroboh secara haram ke dalam wilayahnya.
Insiden lintasan sempadan King berlaku ketika hubungan antara kedua-duanya Korea Selatan dan Korea Utara berada pada tahap rendah, dengan diplomasi terhenti dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyeru peningkatan pembangunan senjata, termasuk kepala peledak nuklear taktikal.-AFP