fb fb fb fb fb

Gigitan ikan lumba-lumba cetus amaran di pantai Jepun

FOTO HIASAN

TOKYO, 27 Ogos- Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan amaran menggesa pengunjung pantai mengelak daripada mendekati ikan lumba-lumba susulan peningkatan mendadak kes gigitan haiwan berkenaan ke atas manusia.

Setakat tahun ini seramai 18 perenang dilapor telah digigit oleh ikan lumba-lumba di sekitar pantai di wilayah Fukui.

"Kebanyakan gigitan adalah kecil -- sebilangan kes hanya luka calar -- tetapi dalam kejadian baru-baru ini, seorang kanak-kanak sekolah rendah menerima 20 hingga 30 jahitan," kata Shoichi Takeuchi, pegawai pengawal pantai.

Sementara itu pakar setologi Universiti Mie, Prof Tadamichi Morisaka mengesyaki kejadian itu dilakukan seekor ikan lumba-lumba berdasarkan ciri-ciri sirip dan bekas luka yang dilaporkan oleh mangsa.

"Ini mungkin dilakukan oleh ikan lumba-lumba yang sama.

"Yang mana ia mungkin berusaha untuk berinteraksi dengan manusia seperti dilakukannya dengan sesama ikan lumba-lumba," katanya.

Bagaimananapun dakwaan Morisaka masih dalam siasatan sama ada ia melibatkan seekor atau banyak 'dalang'.

Di Pantai Suishohama, persatuan pelancongan tempatan mengeluarkan amaran di laman web serta mengedar risalah menasihati orang ramai tidak mendekati atau menyentuh haiwan tersebut.

"Ikan lumba-lumba biasanya makhluk tenang tetapi boleh membuat anda cedera dengan gigitan tajam, menyeret anda ke dalam air dan, dalam senario terburuk, mengancam nyawa anda," ujar pihak itu.

SITI AISHAH MD ISA