fb fb fb fb fb

ASEAN sambut baik gencatan senjata Israel-Iran, gesa elak ketegangan baharu

Gencatan senjata antara kedua-dua negara diisytihar awal minggu ini/Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Khamis menyambut baik gencatan senjata antara Israel dan Iran serta menggesa semua pihak terlibat mengelak daripada mencetuskan ketegangan lanjut, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan bersama, ASEAN menegaskan semula kewajipan negara-negara untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam dalam konflik bersenjata, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi berkaitan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami menyokong usaha berterusan, termasuk yang diketuai oleh PBB, bertujuan meredakan ketegangan dan memudahkan penyambungan semula dialog membina dalam kalangan pihak yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

“Kami menggesa semua pihak agar menghormati gencatan senjata ini dan mengelakkan sebarang bentuk ketegangan selanjutnya,” tambahnya.

Gencatan senjata antara kedua-dua negara diisytihar awal minggu ini.- BERNAMA-XINHUA

GRACE AISYAH KEDAYAN