fb fb fb fb fb

Lelaki cuba bunuh penumpang, bakar tren bawah tanah

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan api mulai marak dalam gerabak Tren Laluan 5 di Seoul pada 31 Mei lalu

SEOUL, 27 Jun - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan detik cemas seorang lelaki membakar tren bawah tanah di ibu negara Korea Selatan pada 31 Mei lalu.

Lelaki berusia 67 tahun itu bertindak sedemikian kerana mengalami halusinasi selepas dilaporkan bercerai dengan isterinya.

Pejabat Pendakwa Raya Daerah Selatan Seoul berkata, rakaman kejadian dikeluarkan pada Selasa memaparkan suspek menyimbah cecair mudah terbakar di lantai gerabak Tren Laluan 5 sebelum menyalakan api.

Dia dipercayai merancang perbuatan itu dengan membeli petrol dan dilaporkan meninjau beberapa stesen tren sehari sebelum insiden.

Beberapa penumpang dilihat cuba melarikan diri, termasuk seorang yang tergelincir sebelum api marak.

Asap tebal turut merebak ke gerabak bersebelahan yang dipenuhi penumpang lain.

Enam orang cedera dalam kejadian itu namun tiada kematian dilaporkan.

Suspek kini didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh dan khianat dengan api.

Insiden tersebut mengimbas kembali tragedi kebakaran tren bawah tanah di Daegu pada 2003 yang meragut 192 nyawa.

Susulan tragedi itu, kerajaan telah menambah baik sistem keselamatan pengangkutan awam negara itu. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN