WASHINGTON, 22 Februari - Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan kewangan terhadap dua wilayah di Timur Ukraine yang dikuasai puak pemisah, iaitu Donetsk dan Lugansk atau Luhansk dalam kalangan penduduk Ukraine.
AS turut memberi amaran bahawa lebih banyak sekatan akan dikenakan jika perlu.
Presiden Joe Biden akan mengeluarkan perintah eksekutif untuk menghalang sebarang pelaburan baharu, perdagangan dan bantuan kewangan dari AS kepada kedua-dua wilayah itu, kata Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki.
Perintah itu akan "memberikan kuasa untuk mengenakan sekatan-sekatan terhadap sesiapa saja yang ingin beroperasi di wilayah-wilayah tersebut," ujar Psaki.
Katanya, langkah itu sebagai tambahan berasingan kepada sekatan Barat lebih meluas "sekiranya Rusia mencerobohi Ukraine".
Kedua-dua wilayah itu kini mempunyai urusan yang sangat terhad dengan AS.
Jelasnya, sekatan-sekatan itu menandakan satu fasa baharu yang berpotensi menjadi konfrontasi paling berbahaya antara Timur dan Barat sejak keruntuhan Kesatuan Soviet. -AFP