fb fb fb fb fb

AS tinggalkan UNESCO: Audrey Azoulay luah rasa kesal

Audrey Azoulay / Foto AFP

PARIS, 23 Julai - Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), Audrey Azoulay, melahirkan rasa kesal terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menarik semula penyertaan negaranya daripada agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Azoulay yang berasal dari Perancis berkata, tindakan tersebut dibuat atas alasan bahawa UNESCO didakwa bersikap berat sebelah terhadap Israel dan mempromosikan agenda yang bersifat memecahbelahkan.

“Setiap negara mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk menyatakan pandangan terhadap mana-mana program atau hala tuju yang dibincangkan.

"Namun saya ingin mengingatkan dua perkara. Pertama, semua garis panduan yang diguna pakai ditentukan, dibincangkan dan dipersetujui secara bersama oleh negara-negara anggota.

"Kedua, saya ingin menegaskan bahawa saya sama sekali menafikan wujudnya sebarang kecenderungan anti-Israel dalam organisasi ini," katanya di sini.

Langkah AS itu mengulangi tindakan sama yang pernah diambil sebelum ini, sekali gus mencetuskan reaksi antarabangsa terhadap komitmen Washington dalam kerjasama global melibatkan budaya, pendidikan dan sains. -AFP

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM