fb fb fb fb fb

AS tinggalkan UNESCO

Foto AFP

WASHINGTON, 22 Julai - Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penarikan diri daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce mendakwa, kononnya agensi PBB yang terkenal dengan penetapan Tapak Warisan Dunia itu bersikap berat sebelah terhadap Israel, serta mempromosikan agenda yang memecahbelahkan.

"Penyertaan berterusan dalam UNESCO tidak lagi selaras dengan kepentingan Amerika Syarikat," kata Bruce.

Langkah tersebut telah dijangka bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang turut mengarahkan pengunduran AS daripada UNESCO pada tahun 2017, sebelum negara itu menyertai semula agensi berkenaan bawah Presiden Joe Biden.

UNESCO menyatakan misinya adalah untuk mempromosikan pendidikan, kerjasama saintifik dan persefahaman budaya.

Agensi ini bertanggungjawab menguruskan senarai Tapak Warisan Dunia yang bertujuan memelihara warisan alam sekitar dan seni bina yang unik, termasuk Terumbu Karang Besar di Australia, Serengeti di Tanzania, Acropolis di Athens dan Piramid di Mesir.

Trump bukanlah Presiden AS pertama yang menarik diri daripada UNESCO.

Presiden Ronald Reagan juga pernah menamatkan keanggotaan AS pada tahun 1980-an, dengan alasan agensi itu korup dan memihak kepada Soviet, sebelum menyertai semula semasa pentadbiran Presiden George W. Bush. -AFP

MASNIZA AWANG KECHIK