GENEVA, 22 Julai - Lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh angkara kekejaman tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di Gaza, sejak permulaan operasi Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Thameen Al-Kheetan berkata, data ini diperoleh daripada pelbagai sumber yang boleh dipercayai di lapangan, termasuk pasukan perubatan, organisasi kemanusiaan dan pertubuhan hak asasi manusia.
"Setakat 21 Julai, sejumlah 1,054 kematian direkodkan di Gaza dalam kalangan individu yang cuba mendapatkan makanan dengan 766 daripadanya terbunuh berhampiran lokasi GHF dan 288 lagi berdekatan konvoi bantuan PBB dan organisasi kemanusiaan lain," katanya.
GHF yang merupakan inisiatif swasta mula beroperasi pada 26 Mei, selepas Israel menyekat sepenuhnya bekalan daripada memasuki Gaza selama lebih dua bulan - situasi yang mencetuskan kebuluran.
Sejak itu, operasi GHF dicemari oleh keadaan kacau-bilau dan hampir setiap hari, terdapat laporan mengenai tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penduduk yang beratur untuk mendapatkan bekalan makanan di Gaza.
Serangan besar-besaran rejim Zionis di Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023 telah mewujudkan krisis kemanusiaan yang amat genting bagi lebih dua juta penduduk di wilayah pantai itu.
Penduduk Gaza kini berdepan kekurangan makanan dan keperluan asas yang amat kritikal.
Setakat ini, GHF telah mengedarkan lebih 1.4 juta kotak makanan.
Namun, PBB dan agensi bantuan utama enggan bekerjasama dengan GHF kerana bimbang ia dirancang untuk memenuhi matlamat ketenteraan Israel, serta melanggar prinsip-prinsip asas kemanusiaan. -AFP