fb fb fb fb fb

Kematian akibat ketiadaan roti, air tidak boleh diterima - Erdogan

Foto AFP

ISTANBUL, 22 Julai - Kematian rakyat Palestin disebabkan ketiadaan "sekeping roti atau seteguk air" tidak boleh diterima sama sekali, tegas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Amaran itu dibuat dalam satu ucapan di ibu negara, ketika semakin banyak kritikan antarabangsa ditujukan terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza yang mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius.

"Tiada sesiapa yang masih memiliki sedikit pun maruah kemanusiaan boleh menerima kekejaman ini, di mana puluhan orang awam yang tidak bersalah mati setiap hari kerana tidak memperoleh sekeping roti atau seteguk air," katanya.

Erdogan sememangnya terkenal sebagai pengkritik lantang Israel, namun kenyataan terbarunya ini dibuat, tatkala rejim Zionis berdepan desakan daripada agensi-agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara agar melindungi nyawa orang awam dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.

Sebelum ini Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas menegaskan, tentera Israel mesti menghentikan pembunuhan orang awam di lokasi pengagihan makanan, manakala Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk memberi amaran kepada rejim Zionis bahawa tindakannya berisiko tinggi melanggar undang-undang antarabangsa.

Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan, serangan udara Israel telah membunuh 15 orang di wilayah Palestin pada Selasa, sehari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan kediaman kakitangannya diceroboh tentera Zionis. -AFP

MASNIZA AWANG KECHIK