fb fb fb fb fb

Operasi Israel di Gaza cabul undang-undang antarabangsa - PBB

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk

GENEVA, 22 Julai - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, operasi ketenteraan Israel yang semakin meluas di bahagian tengah Gaza mencetuskan risiko "sangat tinggi" berlaku pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.

PBB turut memberi amaran bahawa pemindahan penduduk Gaza secara kekal akan dianggap sebagai jenayah perang dan dalam keadaan tertentu, mungkin juga sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

“Serangan udara dan operasi darat Israel ini sudah tentu akan mengakibatkan lebih banyak kematian orang awam dan kemusnahan ke atas infrastruktur awam,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk dalam satu kenyataan.

“Memandangkan kepadatan tinggi penduduk awam di kawasan itu, serta cara dan kaedah peperangan yang digunakan oleh Israel setakat ini, risiko pembunuhan tidak sah dan pelanggaran serius lain terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah amat tinggi."

Deir el-Balah diserang bertubi-tubi semalam, sehari selepas tentera Israel mengarahkan penduduknya berpindah dengan memberi amaran akan melancarkan serangan besar-besaran di kawasan yang sebelum ini, bukan medan operasi mereka.

Menurut anggaran awal Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), antara 50,000 hingga 80,000 orang berada di kawasan tersebut ketika perintah pemindahan dikeluarkan.

“Perintah pemindahan terbaru oleh Israel, diikuti serangan intensif di kawasan barat daya Deir el-Balah hanya menambah penderitaan kepada rakyat Palestin yang kelaparan,” kata Turk.

“Nampaknya mimpi ngeri ini tidak mungkin menjadi lebih buruk. Tetapi ia semakin memburuk.”

Pesuruhjaya Tinggi PBB itu turut menekankan bahawa kawasan yang menjadi sasaran serangan terbaharu turut menempatkan beberapa organisasi kemanusiaan, termasuk klinik, fasiliti kesihatan lain, pusat perlindungan, dapur komuniti, rumah tamu, gudang dan infrastruktur penting lain".

“Mangsa tidak mempunyai pilihan, selain pergi ke kawasan Gaza yang semakin mengecil, tempat ratusan ribu orang terpaksa berhimpun, sekali gus menyukarkan lagi usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan,” jelas beliau sambil menegaskan bahawa kawasan-kawasan ini juga tidak selamat.

“Saya ingin mengingatkan Israel bahawa pemindahan penduduk secara kekal yang hidup bawah pendudukannya adalah satu pemindahan tidak sah, iaitu jenayah perang dan dalam keadaan tertentu, boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan."

Turk menekankan bahawa Israel sebagai 'kuasa pendudukan', mesti memastikan bekalan makanan, perubatan dan keperluan lain disediakan kepada penduduk. -AFP

MASNIZA AWANG KECHIK