fb fb fb fb fb

Taiwan tubuh jawatankuasa khas tangani berita palsu

Presiden Taiwan, Lai Ching-te/ Foto REUTERS

TAIPEI, 22 Julai - Presiden Taiwan, Lai Ching-te mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas, bagi menangani penyebaran berita palsu dan ancaman zon kelabu.

Pengumuman mengenainya dibuat dalam pertemuan dengan delegasi Jawatankuasa Khas Parlimen Eropah mengenai Perisai Demokrasi Eropah (EUDS) di Pejabat Presiden.

Tegas Lai, jawatankuasa baharu ini akan menyepadukan usaha domestik, ketenteraan, diplomatik, keselamatan siber dan awam bagi meningkatkan ketahanan masyarakat Taiwan terhadap pelbagai bentuk ancaman.

Dalam pertemuan itu, Lai turut mengalu-alukan keputusan Parlimen Eropah yang kali pertama menghantar delegasi EUDS ke Asia dan menyifatkannya sebagai bukti hubungan erat yang semakin mendalam antara Taiwan dengan Eropah.

Menurut beliau, Taiwan bersedia untuk berkongsi pengalaman dengan Eropah dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan siber, literasi media dan ketahanan sosial.

Sementara itu Pengerusi EUDS, Nathalie Loiseau berkata, delegasi yang hadir terdiri daripada ahli-ahli Parlimen dari pelbagai negara dan parti politik yang kesemuanya menyokong Taiwan.

Beliau menyuarakan harapan untuk memperkukuh hubungan Taiwan-Eropah, sambil menekankan ancaman luaran yang dihadapi oleh kedua-dua pihak, termasuk manipulasi maklumat dan serangan siber. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK