fb fb fb fb fb

25 kanak-kanak, antara 31 maut dalam nahas pesawat tentera Bangladesh

Foto REUTERS

DHAKA, 22 Julai - Sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak, antara 31 mangsa yang ditemukan maut dalam bangunan yang hangus terbakar, selepas sebuah pesawat Tentera Udara Bangladesh yang sedang menjalankan misi latihan terhempas ke kawasan kolej dan kampus sekolah.

Kebanyakan kanak-kanak yang terkorban berumur bawah 12 tahun.

Menurut Pembantu Khas kepada Ketua Penasihat Kesihatan, Sayedur Rahman, seramai 88 orang dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan melecur.

Sebahagian pesakit berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pesawat F-7 BGI itu terhempas sejurus berlepas pada pukul 1.06 tengah hari Isnin (waktu tempatan) dari pangkalan udara di Kurmitola di ibu negara semasa menjalani latihan rutin.

Pihak tentera memaklumkan pesawat tersebut mengalami kegagalan mekanikal.

Rakaman visual menunjukkan pasukan penyelamat giat menggeledah bangunan yang hangus ketika ahli keluarga mangsa turut berada di sekeliling kawasan kejadian.

Berikutan insiden itu, kerajaan Bangladesh mengisytiharkan tempoh berkabung selama sehari dengan bendera dikibarkan separuh tiang, manakala semua rumah ibadat diminta mengadakan solat dan upacara khas untuk mangsa. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK