PARIS, 22 Julai – Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot menggesa Israel membenarkan kemasukan media asing ke wilayah Palestin yang dikepung di Gaza, susulan amaran kebuluran yang semakin meningkat selepas 21 bulan konflik bersenjata.
"Saya meminta agar media bebas dan bebas daripada pengaruh dibenarkan masuk ke Gaza untuk melaporkan apa yang sedang berlaku dan menjadi saksi kepada situasi sebenar," katanya dalam satu temu bual bersama radio France Inter dari timur Ukraine.
Kenyataan beliau dibuat selepas agensi berita AFP memaklumkan bahawa nyawa wartawan sambilan Palestin yang bekerjasama dengan agensi itu di Gaza kini berada dalam bahaya.
Apabila ditanya sama ada Perancis akan membantu memindahkan wartawan sambilan tersebut, Barrot berkata pihaknya sedang 'menangani perkara itu'.
"Kami berharap dapat memindahkan beberapa kolaborator wartawan dalam beberapa minggu akan datang," katanya.
Pada Isnin, sekumpulan wartawan AFP bawah pertubuhan Société des Journalistes (SDJ) mengeluarkan kenyataan mendesak campur tangan segera bagi membantu wartawan yang bekerja dengan agensi itu di Gaza.
SDJ turut berkongsi kisah seorang wartawan sambilan berusia 30 tahun yang menetap bersama keluarganya di Bandar Gaza dan melaporkan pada Ahad bahawa abang sulungnya "rebah akibat kelaparan".
AFP dalam kenyataan yang disiarkan di platform X dan Instagram berkata, "Sejak 7 Oktober lalu, Israel menghalang kemasukan semua wartawan antarabangsa ke Gaza."
"Dalam konteks ini, tugas wartawan sambilan Palestin kami sangat penting untuk memastikan dunia mendapat maklumat yang tepat.
"Namun, nyawa mereka kini terancam. Justeru, kami menggesa pihak berkuasa Israel membenarkan pemindahan segera mereka dan keluarga masing-masing," menurut kenyataan itu.
AFP sebelum ini telah memindahkan lapan kakitangannya bersama keluarga dari Gaza antara Januari hingga April 2024.
Barrot dalam kenyataannya turut menggesa agar gencatan senjata segera dilaksanakan selepas Israel memperluas operasi ketenteraannya ke bandar Deir el-Balah di tengah Gaza pada Isnin.
"Tiada lagi justifikasi untuk operasi ketenteraan tentera Israel di Gaza.
"Serangan ini hanya akan memburukkan lagi keadaan yang sudah pun kritikal dan menyebabkan lebih ramai penduduk terpaksa melarikan diri – sesuatu yang kami kutuk sekeras-kerasnya," tambah kenyataan itu. - AFP