BEIJING, 22 Julai – Dua maut manakala 10 lagi dilaporkan hilang selepas banjir kilat melanda wilayah Shandong di timur China.
Menurut laporan CCTV hujan lebat sehingga 364 milimeter itu direkodkan di beberapa kawasan ibu negeri wilayah itu, Jinan, dalam tempoh lima jam bermula tengah malam.
Hujan lebat luar biasa itu mengakibatkan banjir kilat di dua buah kampung di pekan Dawangzhuang, yang turut mengakibatkan 19 rumah musnah atau rosak teruk.
"Usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan dan menyelamatkan mangsa yang masih hilang," menurut laporan CCTV.
Pihak berkuasa juga memaklumkan bahawa kerja-kerja penyelamatan pasca bencana dan pemulihan akan dilaksanakan secara tersusun.
Bencana alam seperti itu adalah kejadian biasa di China, terutama pada musim panas apabila sesetengah kawasan mengalami hujan lebat manakala kawasan lain pula dilanda gelombang haba.
China yang juga merupakan kuasa besar dalam tenaga boleh baharu dan menyasarkan untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang tahun 2060.
Pada Jun lalu, enam individu terkorban dan lebih 80,000 orang dipindahkan akibat banjir di wilayah Guizhou, selatan China.
Sementara itu, kejadian tanah runtuh di lebuh raya wilayah Sichuan awal bulan ini turut meragut lima nyawa selepas beberapa kenderaan dihanyutkan ke kawasan lereng bukit. - AFP