TAWI-TAWI, 22 Julai – Anggota Tentera Laut Filipina menyelamatkan empat nelayan yang terperangkap selepas bot mereka karam di perairan bergelora selatan negara itu.
Kejadian berlaku pada 18 Julai lalu ketika kapal BRP Juan Magluyan sedang melakukan rondaan rutin di sekitar Pulau Pababag, Tawi-Tawi sebelum menemukan bot nelayan terbalik.
Rakaman video memaparkan anggota tentera laut melemparkan pelampung keselamatan kepada mangsa yang berpaut pada bot yang karam, sebelum menarik kesemua mereka naik ke atas kapal dengan selamat. Mereka kemudiannya dibawa ke Jeti Lamion untuk tindakan lanjut.
Komando Tentera Laut Mindanao Barat dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat awal, nelayan tersebut dalam perjalanan ke Pulau Simunul sebelum bot itu dihanyutkan ombak besar.
"Kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pada pukul 2.54 petang, kapal peronda kembali ke Jeti Lamion dan menyerahkan mangsa kepada anggota Unit Risikan dan Keselamatan Tentera Laut (NISU) bagi tujuan dokumentasi serta bantuan lanjut," menurut kenyataan itu.
Insiden berlaku ketika keadaan laut bergelora akibat musim monsun yang sedang melanda Filipina dan beberapa negara jiran di Asia Tenggara, yang lazimnya membawa banjir kilat, suhu tinggi diikuti ribut petir pada waktu petang. - REUTERS