fb fb fb fb fb

Stok bantuan NRC di Gaza habis, kakitangan berdepan kebuluran

Foto AFP

GAZA, 23 Julai - Stok bantuan Majlis Pelarian Norway (NRC) di Gaza dilaporkan telah habis sepenuhnya, dengan sebahagian kakitangannya kini berdepan kebuluran susulan kekangan kemasukan bantuan yang berpunca daripada tindakan pihak berkuasa Israel.

Setiausaha Agung NRC, Jan Egeland berkata, semua pek makanan dan barangan bantuan terakhir mereka telah diagihkan, dan ketika ini, tiada sebarang bekalan yang masih berbaki.

“Sejak 145 hari lalu, kami tidak dapat membawa masuk ratusan buah trak yang membawa khemah, bekalan air, makanan, keperluan sanitasi serta bahan pendidikan ke Gaza,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan, bekalan air bersih NRC kini semakin berkurangan akibat kekurangan bahan api untuk mengoperasikan loji penyahgaraman air, yang sebelum ini membekalkan keperluan air kepada lebih 100,000 penduduk di utara dan tengah Gaza.

Kenyataan itu turut seiring dengan laporan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), yang memaklumkan bahawa terdapat kakitangan mereka pengsan ketika bertugas akibat kelaparan dan keletihan. -REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM