TEL AVIV, 23 Julai - Sekumpulan penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di Tel Aviv semalam bagi membantah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
Mereka dilihat membawa gambar kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan, sambil melaungkan desakan supaya perang serta kebuluran di Gaza segera dihentikan.
Jurucakap gerakan 'Standing Together', Uri Weltmann, berkata demonstrasi itu disertai rakyat berbangsa Yahudi dan Palestin dari Israel sebagai tanda solidariti terhadap nasib penduduk Gaza.
"Kami berhimpun bagi menolak dasar kerajaan yang didakwa menyebabkan kebuluran, serta membantah bencana kemanusiaan yang berlaku di Gaza," katanya di sini.
Gaza dilaporkan kehabisan bekalan makanan sejak Israel menutup sepenuhnya laluan bekalan ke wilayah itu pada Mac, sebelum melonggarkan sekatan pada Mei dengan syarat keselamatan baharu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyifatkan keadaan yang sedang dihadapi 2.3 juta penduduk Gaza sebagai "adegan ngeri".
Menurut rekod terkini, hampir 60,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel sejak 2023. -REUTERS