GAZA, 23 Julai – Sekurang-kurangnya 30 jenazah, termasuk kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan serangan udara Israel, telah dikebumikan di Gaza, semalam.
Rakaman menunjukkan ahli keluarga meraung kesedihan di sisi jasad insan tersayang, termasuk kanak-kanak yang terkorban.
“Dia lahir tanpa susu, tanpa lampin, tanpa makanan untuk ibunya. Kami hidup dalam kebuluran. Semua ini kerana sekatan dan penutupan lintasan yang dikenakan ke atas kami,” kata bapa kepada bayi yang maut, Youssef, Adham Al-Safadi.
Menurut laporan media tempatan, seramai 23 individu termasuk kanak-kanak dilaporkan maut akibat kekurangan zat dalam tempoh hanya dua hari, manakala kira-kira 17,000 kanak-kanak kini mengalami malnutrisi akut.
Israel sehingga ke hari ini terus menyekat kemasukan bantuan ke Gaza.
Pada Ahad lalu, seramai 85 orang dilaporkan terbunuh manakala 150 lagi cedera ketika pengagihan bantuan di Gaza, menjadikannya insiden paling buruk sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada 2023.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 59,029 rakyat Palestin terbunuh dan sekitar 142,135 lagi cedera sepanjang tempoh konflik berkenaan. –VIORY