fb fb fb fb fb

AS sifatkan pemindahan peluru berpandu Iran ke Rusia sebagai peningkatan ancaman

Sebuah peluru berpandu dilancarkan semasa latihan ketenteraan di lokasi yang tidak didedahkan di selatan Iran, pada 19 Januari 2024/ REUTERS

WASHINGTON, 7 September- Sebarang pemindahan peluru berpandu balistik dari Iran ke Rusia menandakan peningkatan ancaman dalam perang Ukraine, kata Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Ia berikutan laporan bahawa kedua-dua negara telah mengeratkan hubungan mereka dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan pemindahan senjata seumpama itu.

Reuters melaporkan pada Ogos bahawa Rusia mengharapkan penghantaran segera ratusan peluru berpandu balistik jarak dekat Fath-360 dari Iran dan puluhan kakitangan tentera Rusia sedang dilatih di Iran mengenai senjata yang dipandu satelit untuk digunakan dalam perang di Ukraine.

Peluru berpandu jarak pendek kini telah dihantar ke Rusia oleh Iran, lapor Wall Street Journal pada Jumaat, memetik seorang pegawai AS yang tidak mahu dinamakan.

"Kami telah memberi amaran mengenai perkongsian keselamatan yang semakin mendalam antara Rusia dan Iran sejak permulaan pencerobohan berskala penuh Rusia ke atas Ukraine dan kami terkejut dengan laporan-laporan ini,"kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, Sean Savett.

"Sebarang pemindahan peluru berpandu balistik Iran ke Rusia akan mewakili peningkatan dramatik dalam sokongan Iran terhadap perang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine," ujarnya.

Seorang pegawai AS yang lain memberitahu Reuters bahawa mereka memantau potensi pemindahan peluru berpandu Iran-Rusia dengan teliti.

Langkah-langkah berpotensi ini datang selepas AS dan rakan-rakannya, termasuk di Eropah, memberi amaran bahawa langkah sedemikian oleh Iran boleh berhadapan dengan akibat.

Negara-negara Barat telah memantau hubungan mendalam antara Iran dan Rusia dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York berkata pada Jumaat bahawa pendirian Tehran mengenai konflik Ukraine tetap tidak berubah.

"Iran menganggap penyediaan bantuan ketenteraan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik - yang membawa kepada peningkatan korban manusia, kemusnahan infrastruktur, dan pengasingan dari rundingan gencatan senjata - sebagai tidak berperikemanusiaan," katanya.

"Oleh itu, Iran bukan sahaja mengelak daripada terlibat dalam tindakan sedemikian, tetapi juga menyeru negara-negara lain untuk menghentikan pembekalan senjata kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik," kata misi tersebut. -REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI