fb fb fb fb fb

AS sambung semula penghantaran bantuan ke Gaza melalui jeti sementara

Trak bantuan kemanusiaan merentasi Trident Pier, jeti sementara untuk menghantar bantuan ke Gaza/ REUTERS

WASHINGTON, 9 Jun- Amerika Syarikat (AS) menyambung semula penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza melalui jeti sementara pada Sabtu yang dibina semula selepas rosak akibat laut bergelora pada penghujung bulan lepas, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik Central Command (CENTCOM).

"Hari ini, kira-kira 492 tan metrik bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan telah dihantar kepada penduduk Gaza.

Sehingga kini, CENTCOM AS telah membantu dalam penghantaran lebih daripada 1,573 tan metrik bantuan kemanusiaan," kata CENTCOM dalam hantarannya di X.

Ia menyatakan bahawa tiada anggota tentera AS mendarat di Gaza.

Laut bergelora menjejaskan empat kapal Tentera Darat AS yang menyokong misi bantuan kemanusiaan maritim di Gaza, dan kapal-kapal berkenaan terlepas daripada tambatan mereka, menyebabkan dua kapal berlabuh di pantai berhampiran jeti. Kapal ketiga dan keempat terkandas di pantai Israel berhampiran Ashkelon, menurut laporan itu.

Presiden AS Joe Biden mengarahkan penubuhan laluan laut untuk menghantar makanan dan bantuan lain kepada rakyat Palestin pada 8 Mac di tengah sekatan Israel dan konflik berbulan-bulan di wilayah itu.

JLOTS -- jeti terapung dan jeti Trident -- mula beroperasi pada 17 Mei apabila trak-trak yang membawa bantuan kemanusiaan mula bergerak ke darat melalui jeti itu.

Kos awal dermaga itu dianggarkan bernilai AS$320 juta. Namun, Pentagon pada Rabu menyatakan bahawa harga tersebut telah menurun kepada AS$230 juta, disebabkan oleh sumbangan dari United Kingdom (UK) dan kerana kos pengambilan trak dan peralatan lain adalah "lebih rendah daripada yang dijangkakan."- BERNAMA-ANADOLU

ROSLINA BINTI DIN