fb fb fb fb fb

AS nafi terlibat dalam penahanan raja dadah Mexico "El Mayo" Zambada

FOTO AFP

MEXICO CITY, 30 Julai- Amerika Syarikat telah menafikan pihaknya mendalangi penahanan raja dadah Mexico, Ismael "El Mayo" Zambada, yang tiba di Texas dengan pesawat persendirian minggu lalu.

Ejen AS menerima notis kira-kira dua jam sebelum itu mengatakan pengasas bersama Sinaloa Cartel salah seorang pengedar dadah yang paling dikehendaki di Mexico berada di dalam pesawat itu, kata Menteri Keselamatan Mexico, Rosa Icela Rodriguez.

Maklumat itu kelihatan menyokong teori bahawa Zambada telah dikhianati oleh rakan kongsinya.

Lelaki berusia 76 tahun itu ditahan pada Khamis sebaik tiba di lapangan terbang berhampiran El Paso bersama Joaquin Guzman Lopez, anak kepada seorang lagi pengasas kartel, Joaquin "El Chapo" Guzman.

Pihak berkuasa AS telah dimaklumkan beberapa kali sebelum ini bahawa Guzman Lopez sedang mempertimbangkan untuk menyerah diri, menurut maklumat yang diterima daripada Washington, kata Rodriguez.

Pada pagi Khamis, maklumat yang diterima oleh pihak berkuasa menunjukkan bahawa Guzman Lopez merancang untuk tiba dengan penerbangan peribadi pada hari itu untuk menyerah diri.

Media AS telah memetik sumber penguatkuasaan undang-undang sebagai berkata bahawa Zambada tanpa disedari telah diperdaya untuk melintasi sempadan oleh Guzman Lopez, salah seorang daripada empat anak lelaki El Chapo.

Menurut laporan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS (DEA) yang dikeluarkan pada Mei, anak lelaki El Chapo terlibat dalam "pertempuran dalaman" menentang Zambada, bekas rakan kongsi bapa mereka.

Mexico berkata ia tidak terlibat dalam penangkapan Zambada, yang dilaporkan dalam keadaan tidak sihat.

Terdahulu Amerika Syarikat telah menawarkan ganjaran AS$15 juta untuk maklumat yang membawa kepada penahanannya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE