fb fb fb fb fb

William Calley, penjenayah perang AS era Vietnam, meninggal dunia pada usia 80 tahun

FOTO WIKIPEDIA

WASHINGTON, 30 Julai- William Calley, bekas leftenan Tentera AS yang disabitkan dengan jenayah perang pada era Vietnam iaitu tragedi pembunuhan beramai-ramai My Lai, telah meninggal dunia pada usia 80 tahun, lapor sebuah akhbar pada Isnin.

The Washington Post berkata, Calley meninggal dunia pada 28 April di Gainesville, Florida, tetapi kematiannya tidak dihebahkan sehingga carian rekod awam baru-baru ini.

Pada tahun 1971, Calley menjadi satu-satunya anggota Tentera AS yang didapati bersalah atas jenayah perang berhubung pembunuhan beramai-ramai My Lai, salah satu tragedi paling gelap dalam sejarah ketenteraan AS.

Ia berlaku pada 16 Mac 1968, apabila briged Calley memasuki kampung My Lai berdasarkan risikan yang salah bahawa tentera Viet Cong musuh telah menyamar dalam kalangan orang awam di sana.

Calley, berusia 24 tahun pada masa itu, mengarahkan anak-anak buahnya untuk membunuh penduduk kampung walaupun mereka tidak menemui bukti terdapat musuh di sana.

Pembunuhan beramai-ramai itu melibatkan penyeksaan, rogol dan pembunuhan ratusan warga Vietnam yang tidak bersalah.

Angka kematian akibat pembunuhan beramai-ramai itu masih dipertikaikan, tetapi AS menganggarkan jumlah kematian antara 347 dan 504 orang awam yang tidak bersenjata, kebanyakannya adalah wanita, kanak-kanak dan lelaki warga emas.

Calley kemudiannya menjadi subjek mahkamah tentera berprofil tinggi, di mana dia mendakwa hanya mengikut arahan pihak atasannya.

Calley akhirnya disabitkan dengan kesalahan membunuh 22 orang awam dan dijatuhi hukuman kerja berat seumur hidup. Tetapi hukumannya telah diringankan beberapa hari kemudian oleh Presiden Richard Nixon ketika itu dan dia akhirnya dibebaskan selepas menjalani tahanan rumah selama tiga tahun.

Selepas pembebasannya, Calley menetap di Columbus, Georgia.

Pada tahun 2009, sebuah akhbar tempatan melaporkan ucapan Calley di Kelab Kiwanis Greater Columbus, di mana dia memohon maaf atas peranannya dalam tragedi di My Lai.

"Tiada hari yang berlalu yang saya tidak berasa menyesal atas apa yang berlaku hari itu di My Lai," kata Calley.

"Saya berasa kesal dengan warga Vietnam yang terbunuh, untuk keluarga mereka, untuk askar Amerika yang terlibat dan keluarga mereka. Saya sangat menyesal."-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE