WASHINGTON, 21 Disember- Kerajaan Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan peralatan ketenteraan lebih AS$5 bilion kepada Mesir, semalam.
Menurut Jabatan Negara, penjualan itu akan menyokong dasar luar dan keselamatan negara AS dengan membantu meningkatkan keselamatan sebuah negara sekutu utama bukan NATO yang terus menjadi rakan strategik penting di Asia Barat.
Penjualan itu termasuk kereta kebal M1A1 Abrams buatan AS dan peluru berpandu Hellfire.
Presiden AS, Joe Biden, yang memulakan jawatannya pada 2021, berjanji untuk lebih tegas terhadap Mesir mengenai isu hak asasi manusia di bawah Presiden Abdel Fattah El-Sisi.
Namun, pentadbiran beliau sering meluluskan perjanjian senjata dengan Mesir.
Kaherah merupakan salah satu penerima terbesar bantuan keselamatan AS sejak perjanjian damai dengan Israel pada 1979.
Mesir dan AS semakin bekerjasama rapat sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas di Gaza pada tahun lalu, dengan Kaherah memainkan peranan sebagai perantara.
Selain penjualan kepada Mesir, Jabatan Negara AS juga meluluskan penjualan peralatan ketenteraan bernilai AS$295 juta untuk Taiwan, Maghribi (AS$170 juta) dan Greece (AS$130 juta).- AFP