WASHINGTON, 31 Mei- Seorang lelaki berusia 50 tahun yang didapati bersalah membunuh telah dihukum bunuh dengan suntikan maut pada Khamis di negeri Alabama selatan.
Jamie Ray Mills ialah banduan keenam yang dihukum bunuh di Amerika Syarikat tahun ini.
Mills dijatuhi hukuman mati pada 2007 kerana membunuh Floyd Hill, 87, dan Vera Hill, 72, semasa rompakan. Mereka dibunuh dengan parang, besi tayar dan tukul.
Isterinya, JoAnn Mills, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol kerana penglibatannya dalam pembunuhan pada 2004 dan memberi keterangan terhadap suaminya.
Jabatan Penjara Alabama berkata Mills telah dihukum mati dengan suntikan maut di Fasiliti Pemulihan Holman di Atmore.
Dia adalah banduan kedua yang dihukum mati di Alabama tahun ini. Januari lalu, Alabama melaksanakan hukuman mati pertama kali di Amerika Syarikat menggunakan gas nitrogen.
Terdapat 24 hukuman mati di Amerika Syarikat pada tahun 2023, kesemuanya dilakukan dengan suntikan maut.
Menurut Gallup Poll, baru-baru ini, 53 peratus rakyat Amerika menyokong hukuman mati bagi seseorang yang disabitkan kesalahan membunuh, tahap paling rendah sejak 1972.
Hukuman mati telah dimansuhkan di 23 negeri, manakala enam gabenor enam negeri lain iaitu Arizona, California, Ohio, Oregon, Pennsylvania dan Tennessee telah menggantung pelaksanaannya.-AFP