fb fb fb fb fb

AS-Korea Selatan capai perjanjian perdagangan baharu, tarif diturunkan kepada 15%

Foto Reuters

WASHINGTON, 31 Julai – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif ke atas import dari Korea Selatan akan ditetapkan pada kadar 15 peratus, sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan baharu yang bertujuan meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.

Perjanjian itu diumumkan selepas pertemuan Trump dengan pegawai Korea Selatan di White House, menjelang tarikh akhir 1 Ogos yang ditetapkan oleh beliau bagi pelaksanaan tarif lebih tinggi terhadap pelbagai negara.

Korea Selatan sebelum ini dijangka berdepan tarif sebanyak 25 peratus.

Trump dalam kenyataan di Truth Social berkata, perjanjian itu merupakan “Perjanjian Perdagangan Penuh dan Lengkap” antara Amerika Syarikat dan Republik Korea.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung yang baru memegang jawatan pada Jun lalu, menyambut baik perjanjian tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah penting yang mengurangkan ketidaktentuan eksport negaranya.

Trump turut memaklumkan Lee akan membuat lawatan rasmi ke White House dalam dua minggu akan datang.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Korea Selatan bersetuju untuk melabur sebanyak AS$350 bilion di Amerika Syarikat dan membeli produk tenaga seperti gas asli cecair bernilai AS$100 bilion.

Pelaburan tersebut melibatkan kerjasama dalam sektor pembinaan kapal, semikonduktor, tenaga nuklear, bateri dan biofarmaseutikal.

Selain itu, Korea Selatan turut bersetuju untuk menerima produk Amerika termasuk kereta, trak dan hasil pertanian tanpa duti import. Namun begitu, pasaran beras dan daging lembu Korea masih kekal tertutup.

Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, memaklumkan pembelian tenaga Korea Selatan akan dilaksanakan dalam tempoh 3-5 tahun. Tarif ke atas kereta Korea Selatan ditetapkan pada 15 peratus manakala semikonduktor dan produk farmaseutikal tidak dikenakan syarat tambahan.

Perjanjian tersebut hadir selepas Jepun berjaya mencapai persetujuan serupa awal bulan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Samsung Electronics Korea Selatan menandatangani perjanjian cip bernilai AS$16.5 bilion dengan Tesla, manakala LG Energy Solution memeterai perjanjian bernilai AS$4.3 bilion bagi pembekalan bateri sistem storan tenaga kepada syarikat yang sama. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN