MOSCOW, 31 Julai – Amaran tsunami di seluruh Lingkaran Pasifik ditarik balik pada Rabu, membolehkan jutaan penduduk yang dipindahkan sementara pulang ke rumah masing-masing selepas gempa bumi kuat melanda timur jauh Rusia.
Gempa berukuran 8.8 magnitud yang berlaku di luar pesisir Semenanjung Kamchatka menggegarkan kawasan terpencil itu dan mencetuskan amaran tsunami di beberapa negara termasuk Jepun, Amerika Syarikat dan Ecuador.
Gelombang setinggi empat meter diramalkan di beberapa kawasan, menyebabkan gangguan besar termasuk penutupan 65 pelabuhan di Peru dan pembatalan penerbangan di pulau Maui, Hawaii.
Bagaimanapun, bencana besar yang dibimbangi tidak berlaku menyebabkan negara terlibat menarik balik atau menurunkan tahap amaran tsunami, dan penduduk pesisir pantai dibenarkan pulang.
Di Jepun, hampir dua juta orang diarah berpindah ke kawasan lebih tinggi sebelum amaran itu ditarik semula.
Loji nuklear Fukushima, yang pernah musnah akibat tsunami pada 2011, turut dikosongkan sementara.
Satu-satunya kematian dilaporkan di Jepun melibatkan seorang wanita yang terjun dari tebing ketika cuba menyelamatkan diri.
Di Chile, pihak berkuasa mengarahkan pemindahan 1.4 juta penduduk ke kawasan tinggi dalam apa yang disifatkan Kementerian Dalam Negeri sebagai "pemindahan terbesar dalam sejarah negara".
Tiada kemusnahan atau korban jiwa dilaporkan, dan hanya gelombang setinggi 60 sentimeter direkodkan di pantai utara.
Kebimbangan turut reda di Kepulauan Galapagos, Ecuador apabila gelombang maksimum hanya melebihi satu meter, walaupun amaran awal menjangkakan sehingga tiga meter. Penduduk melaporkan paras laut yang naik turun secara tiba-tiba iaitu fenomena biasa ketika tsunami.
“Keadaan kembali tenang, saya sambung kerja. Restoran dan tempat pelancongan dibuka semula,” kata Isabel Grijalva, 38, penduduk Santa Cruz.
Kerugian terburuk dilaporkan di Rusia apabila ombak tsunami melanda pelabuhan Severo-Kurilsk dan menenggelamkan kilang pemprosesan ikan tempatan.
Rakaman televisyen menunjukkan bangunan dan serpihan dihanyutkan ke laut. Air turut melimpah hingga ke tugu Perang Dunia Kedua, sejauh 400 meter dari pantai, menurut Datuk Bandar Alexander Ovsyannikov.
Gempa utama itu juga menyebabkan kerosakan kecil dan kecederaan ringan, meskipun ia merupakan gegaran paling kuat sejak 2011, tahun yang menyaksikan lebih 15,000 maut di Jepun.
Beberapa ketika selepas gegaran, Gunung Berapi Klyuchevskoy di Kamchatka turut meletus dengan aliran lava dan letupan dilaporkan di lereng barat gunung tersebut.
Gempa itu merupakan yang paling kuat di rantau Kamchatka sejak tahun 1952. Perkhidmatan seismik Rusia memberi amaran akan kemungkinan gegaran susulan setinggi 7.5 magnitud, dengan lebih 50 gegaran kecil direkodkan selepas kejadian.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan terdapat kemungkinan 59 peratus gegaran susulan melebihi magnitud 7.0 dalam tempoh seminggu. - AFP