OTTAWA, 31 Julai – Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, mengumumkan pada Rabu bahawa negaranya akan mengiktiraf Negara Palestin semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini.
Carney berkata langkah itu perlu diambil untuk memastikan harapan terhadap penyelesaian dua negara tidak lenyap, sambil menyatakan bahawa visi tersebut kini "semakin terhakis di depan mata kita".
“Kanada akan mengiktiraf Negara Palestin pada Sesi Ke-80 Perhimpunan Agung PBB, September 2025,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Dengan pengumuman itu, Kanada menjadi negara ketiga selepas Perancis dan United Kingdom yang menyatakan kesediaan mengiktiraf Palestin dalam masa terdekat.
Israel mengecam tindakan itu sebagai sebahagian daripada "kempen tekanan antarabangsa yang pincang", dan mendakwa pengiktirafan terhadap Palestin dalam keadaan sekarang hanya akan "menghalalkan kekejaman Hamas" dalam serangan 7 Oktober 2023.
Kedutaan Israel di Ottawa menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut berlaku tanpa kewujudan "kerajaan yang bertanggungjawab, institusi yang berfungsi atau kepimpinan yang berhemah".
Carney menjelaskan bahawa hasrat Kanada itu bersyarat terhadap komitmen reformasi oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diterajui Presiden Mahmud Abbas.
Antara syarat utama ialah mengadakan pilihan raya umum pada 2026 yang tidak melibatkan Hamas, serta memastikan Palestin menjadi negara yang didemilitarisasi.
Ketika ditanya adakah Kanada mungkin mengubah pendirian sebelum mesyuarat PBB, Carney menjawab: "Kemungkinannya ada, tetapi saya sukar membayangkannya", ujarnya.
Mahmud Abbas menyambut baik pengumuman Kanada dan menyifatkannya sebagai “keputusan bersejarah”.
Perancis pula menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kanada dalam menghidupkan semula prospek damai di rantau itu, manakala UK meletakkan syarat kepada Israel sebelum membuat pengiktirafan rasmi pada September.
Perdana Menteri UK, Keir Starmer, berkata London akan mengiktiraf Palestin sekiranya Israel bersetuju dengan beberapa langkah penting, termasuk gencatan senjata di Gaza.
Carney turut menyatakan bahawa pendekatan tradisional yang menunggu proses rundingan damai antara Israel dan PA kini “tidak lagi realistik” susulan tindakan Hamas yang terus menolak kewujudan Israel secara kekerasan, pembinaan penempatan haram Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, usul parlimen Israel untuk mengilhak Tebing Barat, serta kegagalan Israel menangani krisis kemanusiaan di Gaza. - AFP