WASHINGTON, 9 Mac- Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk tidak memperbaharui pengecualian sekatan yang membolehkan Iraq membeli elektrik dari Iran, menurut jurucakap Kedutaan AS di Baghdad.
Meskipun memiliki rizab minyak dan gas yang besar, Iraq masih bergantung kepada import untuk memenuhi keperluan tenaganya, dengan Iran membekalkan satu pertiga daripada gas dan elektrik yang digunakan di negara itu.
"Pada 8 Mac, Jabatan Negara AS tidak memperbaharui pengecualian bagi Iraq untuk membeli elektrik dari Iran," kata jurucakap kedutaan, sambil menambah bahawa keputusan itu bertujuan "memastikan Iran tidak menerima sebarang bentuk pelepasan ekonomi atau kewangan".
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai import gas Iran, yang penting bagi penjanaan elektrik domestik Iraq.
Pengecualian tersebut diperkenalkan pada 2018, ketika AS mengenakan semula sekatan ke atas Iran selepas Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Tehran.
Sejak kembali ke White House pada Januari, Trump meneruskan dasar tekanan maksimum terhadap Iran.
"Kempen tekanan maksimum Presiden bertujuan untuk menamatkan ancaman nuklear Iran, membendung program peluru berpandu balistiknya, dan menghentikan sokongannya kepada kumpulan pengganas," kata jurucakap kedutaan.
Menggelar Iran sebagai pembekal tenaga yang tidak boleh dipercayai, jurucakap itu menggesa Baghdad menghapuskan kebergantungan kepada sumber tenaga Iran secepat mungkin.
Sementara itu, jurucakap kerajaan Iraq, Bassem al-Awadi, memaklumkan kepada media kerajaan bahawa pihak berkuasa telah bersiap sedia untuk semua kemungkinan berhubung keputusan pengecualian itu.
Baghdad berulang kali menegaskan keperluan untuk mempelbagaikan sumber tenaga bagi mengurangkan kebergantungan kepada Iran dan menangani masalah gangguan bekalan elektrik berterusan di Iraq, terutama ketika musim panas.