fb fb fb fb fb

Serangan TTP di Kurram, 4 anggota keselamatan Pakistan terbunuh

FOTO AFP

ISLAMABAD, 9 Mac- Sekurang-kurangnya empat anggota keselamatan Pakistan terkorban manakala tujuh lagi cedera dalam serangan kumpulan bersenjata Taliban Pakistan (TTP) di sebuah pos pemeriksaan keselamatan di daerah Kurram, barat laut Pakistan, pagi tadi.

Menurut seorang pegawai polis yang enggan dikenali, serangan itu dilakukan oleh militan bersenjata berat berhampiran sempadan Afghanistan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa kawasan yang menyaksikan peningkatan keganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sekurang-kurangnya empat anggota keselamatan terkorban dan tujuh lagi cedera,” katanya kepada AFP.

Keganasan di Pakistan semakin meningkat sejak Taliban Afghanistan mengambil alih Kabul pada Ogos 2021.

Kumpulan TTP, yang merupakan kumpulan militan paling aktif di wilayah barat laut Pakistan, sering menyasarkan pasukan keselamatan dalam siri serangan bersenjata.

Islamabad turut menuduh kerajaan Taliban di Kabul gagal membanteras militan yang berlindung di Afghanistan dan merancang serangan ke atas Pakistan, dakwaan yang dinafikan oleh pentadbiran Taliban.

Serangan terbaharu itu berlaku seminggu selepas kejadian pengeboman berani mati berkembar menggunakan bom kereta di sebuah kem tentera di daerah Bannu, Khyber Pakhtunkhwa, yang mengorbankan 13 orang awam dan lima anggota tentera.

Tahun lalu, Pakistan merekodkan tahun paling berdarah dalam tempoh sedekad dengan lebih 1,600 kematian akibat serangan, menurut Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) yang berpangkalan di Islamabad.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE