fb fb fb fb fb

AS digesa beku kerjasama, sekat penjualan senjata ke Arab Saudi

(Senator AS, Bob Menendez /AFP)

WASHINGTON, 11 Oktober- Seorang ahli politik berpengaruh Amerika Syarikat (AS) mendesak pentadbiran negara itu membekukan semua kerjasama dengan Arab Saudi selepas Riyadh bersetuju dengan Moscow serta pengeluar minyak terkemuka lain untuk mengurangkan pengeluaran bahan api itu minggu lalu.

Keputusan itu yang bakal meningkatkan harga minyak mentah, dikecam AS kerana mendakwa langkah dibuat Moscow serta pengeluar minyak lain hanya akan menjejaskan ekonomi global.

Senator Bob Menendez yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat dalam satu kenyataan, berkata kerajaan AS perlu tegas dengan keputusan berkaitan perkara itu dan membuat pilihan sama ada menyokong bersama negara lain yang cuba menghalang penjenayah perang daripada terus mengganas atau sebaliknya.

"Kerajaan Arab Saudi sudah membuat pilihan hanya kerana didorong oleh kepentingan ekonominya sendiri," katanya.

Arab Saudi yang mengetuai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dianggotai 13 negara termasuk Rusia bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak dua juta tong sehari mulai bulan depan, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa harga minyak boleh melambung tinggi.


(FOTO FAIL/ AFP)

Arab Saudi berkata, keutamaan OPEC adalah untuk mengekalkan pasaran minyak yang mampan tetapi langkahnya mendapat teguran pantas daripada Washington, yang mengetuai usaha untuk mengasingkan pengeluar tenaga utama Russia berhubung pencerobohannya terhadap Ukraine.

Menendez berkata, kerajaan AS perlu segera membekukan semua aspek kerjasama dengan Arab Saudi, termasuk sebarang penjualan senjata dan kerjasama keselamatan melebihi apa yang benar-benar diperlukan untuk mempertahankan kakitangan dan kepentingan AS.

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat, saya akan bantah sebarang kerjasama dengan Riyadh sehingga kerajaan negara berkenaan menilai semula kedudukannya berkenaan dengan perang di Ukraine. Cukup-cukuplah," katanya.

Beliau yang juga pengkritik lantang Riyadh, sebelum ini turut menyelar dan menyokong kempen sekatan terhadap kerabat diraja Arab Saudi yang mendakwa ada kaitan dengan kes pembunuhan kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi pada 2018, yang mana risikan AS membuat dakwaan ada pembabitan keluarga diraja dalam kes itu.

"Tindakan Rusia memerangi Ukraine sehingga mengakibatkan ramai terkorban, hilang tempat tinggal dan memusnahkan infrastruktur awam di seluruh Ukraine termasuk di Kiev adalah sangat mengerikan.

"Saya berikrar untuk menggunakan segala cara ada untuk mempercepatkan sokongan kepada rakyat Ukraine dan menamatkan perang Rusia." katanya. - AFP

Media Baharu