fb fb fb fb fb

AS ada maklumat senarai 'individu untuk dibunuh' oleh Rusia - Amaran kepada PBB

WASHINGTON, 21 Februari- Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai maklumat White House menyatakan Rusia mempunyai senarai warga Ukraine "untuk dibunuh atau dihantar ke kem" jika berlaku pencerobohan.

Maklumat itu merujuk surat yang dihantar kepada Ketua Hak Asasi PBB yang diperoleh agensi berita AFP.

Sejak minggu lalu, Washington telah memberi amaran tentang pencerobohan tentera Rusia yang didakwa sedang berkumpul di sempadan Ukraine.

"Amerika Syarikat 'amat prihatin' dan memberi amaran tentang kemungkinan 'pencabulan hak asasi manusia'," memetik kenyataan surat berkenaan.

"Washington mempunyai maklumat boleh dipercayai yang menunjukkan tentera Rusia ada menyenaraikan warga Ukraine yang dikenal pasti untuk dibunuh atau dihantar ke kem (penjara) berikutan pendudukan (pencerobohan) tentera," kata surat itu.

"Kami juga mempunyai maklumat boleh dipercayai bahawa tentera Rusia mungkin akan menggunakan tindakan kekerasan (boleh menyebabkan kematian) untuk menyuraikan protes aman atau menjalankan latihan aman terhadap penentangan orang awam," kata mesej tersebut yang ditujukan kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet.

(20 Februari, protes dari Lincoln Memorial ke White House bantah ketegangan antara Rusia-Ukraine dan menuntut Presiden Joe Biden ambil pendirian lebih tegas/AFP)

Nota yang ditandatangani Duta AS ke PBB di Geneva, Bathsheba Nell Crocker mengingatkan bahawa pencerobohan Rusia ke atas Ukraine boleh menyebabkan tindakan salah guna seperti penculikan, penyeksaan serta penentangan politik, agama, etnik, minoriti dan pelbagai lagi.

Sejak beberapa minggu lalu, Rusia telah menempatkan lebih 150,000 anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine, jumlah anggaran oleh AS dan sekutu baratnya.

Moscow menafikan dakwaan rancangan menyerang jirannya, namun ada menuntut jaminan bahawa Ukraine tidak akan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan pakatan Barat akan mengundurkan tentera dari Eropah Timur, tuntutan yang ditolak Barat. -AFP

Media Baharu