fb fb fb fb fb

AS$30 juta lesap dalam rompakan terbesar di Los Angeles

Foto Hiasan/ AFP

LOS ANGELES, 5 April- Polis Los Angeles dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat satu kejadian rompakan terbesar melibatkan hampir AS$30 juta (RM142.3 juta).

Pegawai dari Jabatan Polis Los Angeles, David Cuellar, berkata rompakan yang disifatkan terbesar dalam sejarah bandar itu berlaku di pinggir utara Sylmar.

Los Angeles Times, yang memetik sumber penyiasatan berkata, pencuri memanjat bumbung kemudahan penyimpanan wang dan memecahkan peti besi, namun tidak diketahui bagaimana suspek mengelak sistem penggera yang canggih.

Menurut laporan itu, rompakan itu dilakukan oleh mereka yang berpengalaman dan hanya disedari pada hari Isnin apabila kakitangan membuka peti besi itu.

"Sungguh mengejutkan bagaimana tiada siapa yang mengesyaki rompakan AS$30 juta, bagaimana ia boleh hilang, saya masih cuba memprosesnya.

"Adakah ia kerja dalaman, berseorangan atau berkumpulan. Terlalu banyak persoalan," kata pekerja pusat simpanan wang itu yang enggan dikenali.

Rompakan itu mengingatkan seseorang kepada filem Hollywood seperti 'Ocean's Eleven' dan adalah antara beberapa siri rompakan berprofil tinggi di wilayah itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dua tahun lalu, perompak melarikan barangan kemas bernilai sehingga AS$100 juta (RM470 juta) dari sebuah trak yang berhenti di lebuh raya ketika dalam perjalanan ke pameran permata dan barangan kemas di Los Angeles.

Julai lalu, seorang lelaki membuat lubang di siling kedai wain mewah berhampiran Pantai Venice, sebelum merompak arak Burgundy dan Bordeaux bernilai AS$600,000 (RM2.8 juta).

Menurut LA Times, rompakan wang tunai terbesar yang diketahui sebelum ini dalam sejarah bandar itu berlaku pada tahun 1997, apabila AS$18.9 juta (RM89.6 juta) dicuri dari depoh berperisai dan pencuri akhirnya berjaya ditangkap. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI