fb fb fb fb fb

Presiden Korea Selatan keluar mengundi awal menjelang pilihan raya parlimen

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol membuat undian awal untuk pilihan raya parlimen ke-22, di Busan/ REUTERS

SEOUL, 5 April- Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol mengundi awal untuk pilihan raya parlimen yabg akan berlangsung pada minggu depan, di mana parti di bawah pimpinannya berusaha untuk merampas semula majoriti dalam dewan yang dikawal pembangkang.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan, lebih 3.5 juta orang, atau kira-kira 8 peratus pengundi yang layak, telah mengundi di kira-kira 3,500 pusat mengundi di seluruh negara setakat 1.00 tengah hari,

Ia menandakan peratusan keluar mengundi tertinggi untuk pilihan raya parlimen pada ketika ini sejak sistem pengundian awal diguna pakai pada 2013.

Yoon mengundi bersama beberapa pembantu di sebuah stesen di bandar pelabuhan selatan Busan, di mana dia dijangka menghadiri acara perniagaan.

Beliau telah menggalakkan orang ramai untuk keluar mengundi untuk pilihan raya pada 10 April depan dengan mengatakan ia bukan sahaja hak rakyat tetapi juga tanggungjawab.

Parti Kuasa Rakyat (PPP) menyasarkan untuk memenangi majoriti dalam dewan tunggal iaitu sebanyak 300 kerusi.

Kegagalan boleh menjejaskan inisiatif utama Yoon untuk meningkatkan ekonomi, kesihatan fiskal dan kadar kelahiran, serta meningkatkan kerjasama keselamatan tiga hala dengan Amerika Syarikat dan Jepun.

Dengan majoriti 167 kerusi, pembangkang utama Parti Demokratik (DP) telah meluluskan berpuluh-puluh rang undang-undang yang menjadi perbalahan, termasuk undang-undang kejururawatan yang diveto oleh Yoon dan partinya.

Demokrat telah lama dianggap mempunyai kelebihan dalam pengundian awal, namun ketua PPP konservatif, Han Dong-hoon, berminat untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi muda, menonjolkan skandal rasuah yang menyelubungi pemimpin pembangkang yang telah mengecewakan ramai orang dan akhirnya membantu Yoon memenangi pilihan raya presiden 2022.

"Melalui peratusan keluar mengundi tertinggi dalam sejarah pengundian awal, marilah kita tunjukkan kepada mereka yang mengabaikan undang-undang dan rakyat kuasa besar warganegara yang baik yang telah hidup dan mematuhi undang-undang," kata Han selepas mengundi di sebuah bandar kolej Seoul . "Parti kami tidak mempunyai penjenayah untuk dilindungi," ujarnya.

Demokrat dan parti pembangkang lain telah menyifatkan pilihan raya sebagai "hari penghakiman" untuk mempertanggungjawabkan pentadbiran Yoon atas apa yang mereka panggil sebagai "kediktatoran pendakwa."

Kedua-dua Yoon dan Han sebelum ini berkhidmat sebagai pendakwa raya kanan.

Dalam tinjauan bersama yang dikeluarkan pada Khamis oleh empat tinjauan pendapat utama, 39 peratus responden berkata mereka akan mengundi PPP dan 37 peratus DP.

Dalam tinjauan pendapat lain yang diterbitkan Khamis oleh Ipsos pula menyatakan bahawa 43 peratus merancang untuk mengundi DP, dan 39 peratus PPP. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI