fb fb fb fb fb

Argentina terima AS$12 bilion, pinjaman daripada IMF

Presiden Argentina Javier Milei/ AFP

BUENOS AIRES, 15 April- Argentina menerima AS$12 bilion sebagai sebahagian daripada pinjaman baharu bernilai AS$20 bilion yang dipersetujui dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kata bank pusat negara itu.

Dana awal tersebut akan digunakan untuk meningkatkan rizab mata wang asing negara, yang kini mencecah hampir AS$37 bilion.

Argentina juga dijangka menerima keseluruhan AS$42 bilion daripada IMF, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Antarabangsa hasil kelonggaran kawalan mata wang yang diumumkan kerajaan.

Pada Isnin, mata wang peso menjunam berbanding dolar AS selepas kerajaan menamatkan kawalan mata wang yang telah berkuat kuasa selama enam tahun. Sebagai ganti, peso kini dibenarkan terapung dalam julat antara 1,000 hingga 1,400 peso bagi setiap dolar.

Pada Selasa, kadar pertukaran stabil pada 1,230 peso.

Suntikan dana ini dianggap penting bagi memulihkan rizab asing yang lemah, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menangani inflasi, menjadi keutamaan utama Presiden Javier Milei yang terkenal dengan ideologi "anarko-kapitalis".

Selepas mencatatkan trend penurunan inflasi sejak September lalu, kadar inflasi bulanan kembali meningkat pada Mac dengan kenaikan 3.7 peratus, berbanding 2.4 peratus pada Februari.

Dalam usaha mengurangkan perbelanjaan awam, Presiden Milei telah memecat puluhan ribu kakitangan sektor awam, mengurangkan separuh jumlah kementerian, serta menolak pelarasan pencen yang berkait dengan inflasi.

Tahun lalu, Argentina mencatatkan lebihan belanjawan pertama dalam tempoh satu dekad, namun langkah penjimatan itu turut menyebabkan kejatuhan kuasa beli, kehilangan pekerjaan dan kemerosotan perbelanjaan pengguna.

Presiden Milei optimis bahawa masalah inflasi di Argentina akan berakhir menjelang pertengahan 2026.- AFP

ROSLINA BINTI DIN