fb fb fb fb fb

Bekas Presiden Peru dan isteri dipenjara 15 tahun, skandal rasuah Odebrecht

Bekas presiden Peru, Ollanta Humala dan isterinya, Nadine Heredia/AFP

LIMA, 16 April-Mahkamah Peru pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap bekas presiden Ollanta Humala dan isterinya, Nadine Heredia.

Keputusan itu dibuat selepas mereka didapati bersalah atas kesalahan penggubahan wang haram melibatkan dana haram daripada syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht, serta kerajaan Venezuela.

Humala, 62, yang menjadi presiden dari 2011 hingga 2016, didapati menerima sumbangan haram bagi dua kempen pilihan raya.

Beliau ditahan di mahkamah sejurus keputusan dibacakan manakala isterinya, yang tidak hadir, kemudiannya dilaporkan memohon suaka di Kedutaan Brazil di Lima.

Pendakwa raya mendakwa pasangan itu menerima AS$3 juta daripada Odebrecht untuk kempen 2011 serta kira-kira AS$200,000 daripada bekas presiden Venezuela, Hugo Chavez, bagi kempen tahun 2006 yang gagal.

Heredia juga dituduh menyembunyikan pembelian hartanah menggunakan wang berkenaan.

Kedua-dua mereka menafikan tuduhan dan pasukan peguam Humala memaklumkan akan membuat rayuan.

Kementerian Luar Brazil mengesahkan bahawa permohonan suaka Heredia sedang dipertimbangkan dan rundingan antara kedua-dua kerajaan sedang berjalan.

Humala merupakan bekas presiden pertama Peru yang dihadapkan ke mahkamah dalam skandal Odebrecht.

Skandal itu turut menjerat tiga lagi bekas presiden negara itu, Alan Garcia, Alejandro Toledo dan Pedro Pablo Kuczynski.

Alan Garcia menamatkan riwayat hidupnya pada 2019 ketika polis mahu menahannya, manakala Alejandro Toledo dijatuhi hukuman lebih 20 tahun penjara.

Sementara itu, Kuczynski pula masih disiasat.

Odebrecht mengaku membayar lebih AS$788 juta dalam sogokan kepada pegawai di pelbagai negara demi mendapatkan projek infrastruktur, termasuk sekurang-kurangnya AS$29 juta kepada pegawai Peru antara 2005 dan 2014.

Humala, yang mewakili blok politik berhaluan kiri, memenangi pilihan raya 2011 selepas menewaskan Keiko Fujimori dalam pusingan kedua.

Fujimori sendiri pernah ditahan 16 bulan sebelum perbicaraan dalam kes berkaitan Odebrecht.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM