fb fb fb fb fb

Arab Saudi bersedia membuka kedai alkohol pertama untuk diplomat

Foto Reuters

RIYADH, 25 Januari - Arab Saudi sedang bersiap sedia untuk membuka kedai alkohol pertamanya di ibu negara Riyadh yang akan dibuka secara eksklusif kepada diplomat bukan Islam, menurut sumber yang mengetahui rancangan dan dokumen itu.

Pelanggan perlu mendaftar melalui aplikasi mudah alih, mendapatkan kod pelepasan daripada Kementerian Luar, dan menghormati kuota bulanan dengan pembelian mereka, kata dokumen itu.

Langkah itu merupakan satu peristiwa penting dalam usaha kerajaan, yang diketuai oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman untuk membuka negara Islam ultra konservatif itu untuk pelancongan dan perniagaan kerana meminum arak adalah dilarang dalam Islam.

Ia juga merupakan sebahagian daripada rancangan yang lebih luas dikenali sebagai Wawasan 2030 untuk membina ekonomi pasca minyak.

Kedai yang akan dibuka di Kuarters Diplomatik Riyadh, kawasan kejiranan tempat tinggal kedutaan dan diplomat itu "terhad" kepada bukan Islam, kata dokumen itu.

Tidak jelas sama ada ekspatriat bukan Islam lain akan mempunyai akses ke kedai tersebut. Berjuta-juta ekspatriat tinggal di Arab Saudi tetapi kebanyakannya adalah pekerja Islam dari Asia dan Mesir.

Sumber yang mengetahui rancangan itu berkata, kedai itu dijangka dibuka dalam beberapa minggu akan datang.

Arab Saudi mempunyai undang-undang yang ketat terhadap peminum arak yang boleh dikenakan hukuman sebatan, pengusiran, denda atau penjara dan ekspatriat juga berdepan dengan pengusiran.

Sebagai sebahagian daripada pembaharuan, hukuman sebatan sebahagian besarnya telah digantikan dengan hukuman penjara.

Alkohol hanya boleh didapati melalui surat diplomatik atau di pasaran gelap.

Kerajaan Arab Saudi hari ini mengesahkan laporan menerusi media bahawa ia mengenakan sekatan baharu ke atas import alkohol dalam konsainan diplomatik.

Pusat Komunikasi Antarabangsanya (CIC) berkata peraturan baharu itu telah diperkenalkan untuk menentang perdagangan haram barangan alkohol dan produk yang diterima oleh misi diplomatik.

“Proses baharu ini akan terus memberikan dan memastikan semua diplomat kedutaan bukan Islam mempunyai akses kepada produk ini dalam kuota yang ditetapkan,” kata CIC dalam satu kenyataan kepada Reuters.

Kenyataan itu tidak menyentuh kedai alkohol yang bakal dibuka namun berkata rangka kerja baharu itu menghormati konvensyen diplomatik antarabangsa.

Arab Saudi, yang secara relatifnya 'tertutup' selama beberapa dekad, beberapa tahun kebelakangan ini melonggarkan kod sosial yang ketat, seperti mengasingkan lelaki dan wanita di tempat awam dan mewajibkan wanita memakai jubah hitam atau abaya yang menutup keseluruhannya.

Sejak pemerintahan Putera Mohammed terdapat beberapa perubahan yang dilakukan termasuk membuka negara untuk pelancongan bukan agama, konsert dan membenarkan wanita memandu, serta tindakan keras terhadap pembangkang dan pesaing politik.

Wawasan 2030 juga termasuk membangunkan industri tempatan dan hab logistik, juga bertujuan menambah ratusan ribu pekerjaan untuk warga Saudi.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN