BANGKOK, 12 Disember -Perdana Menteri sementara Thailand, Anutin Charnvirakul mengesahkan, beliau akan mengadakan perbualan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, malam ini berhubung pertempuran berterusan di sempadan Thailand–Kemboja.
Anutin memaklumkan, sesi itu dijadual berlangsung sekitar 9.20 malam waktu tempatan.
Beliau berkata, sebelum perbualan itu, beliau akan mendapatkan laporan terkini di ibu pejabat tentera Thailand.
“Saya perlu mendengar perkembangan terbaharu di sempadan sebelum berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Trump,” katanya.
Menurut beliau, perbualan dengan Trump dijangka tertumpu kepada kemas kini situasi.
“Saya fikir beliau hanya mahukan perkembangan terkini.
Segala keputusan dan tindakan tetap menjadi tanggungjawab kerajaan Thailand, yang telah memberi kuasa kepada angkatan tentera,” katanya.
Pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja memasuki hari kelima, melibatkan pelbagai lokasi sepanjang sempadan sejauh 817 kilometer.
Ia disifatkan antara pertempuran paling sengit sejak insiden lima hari pada Julai lalu.
Trump sebelum ini berkata, beliau pernah campur tangan bagi menghentikan pertempuran pada Julai melalui panggilan telefon kepada kedua-dua pemimpin.
Justeru beliau kini menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian sekali lagi.
Dalam sidang media sama, Anutin turut menjelaskan proses ke arah pilihan raya baharu selepas pembubaran Parlimen disahkan Raja Thailand semalam.
“Jika mengikut amalan sebelum ini, pilihan raya biasanya berlangsung dalam tempoh sekitar 60 hari.
Selepas itu keputusan perlu disahkan dalam 45 hari dan sebulan lagi diperlukan untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, peletakan jawatan kerajaan akan berkuat kuasa sebaik kerajaan baharu mengangkat sumpah. -REUTERS