fb fb fb fb fb

Antibiotik tidak membantu pesakit berdepan jangkitan virus- Kajian

( Pil antibiotik Amoxicillin 1000mg di sebuah farmasi di Hanau, Jerman/ REUTERS)

LONDON, 25 Mac- Kajian baharu menunjukkan kebanyakan pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan virus akut dan diberi antibiotik sebagai langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan bakteria, mungkin tidak membantu meningkatkan peluang sembuh.

Kumpulan penyelidik mengkaji kesan penggunaan antibiotik terhadap kelangsungan hidup terhadap lebih 2,100 pesakit di sebuah hospital di Norway di antara 2017 dan 2021.

Hasil kajian berkenaan mendapati pemberian antibiotik kepada individu yang mengalami jangkitan pernafasan biasa tidak mengurangkan risiko kematian dalam tempoh 30 hari.

Pada kemuncak pandemik, antibiotik digunakan bagi kira-kira 70 peratus pesakit COVID-19 di sesetengah negara, sekali gus menyumbang kepada kewujudan patogen kalis antibiotik yang dikenali sebagai 'kuman super'.

Menurut pengarang utama kajian, Dr Magrit Jarlsdatter Hovind dari Hospital Universiti Akershus dan Universiti Oslo, Norway, data baharu berkenaan, yang belum diterbitkan dalam jurnal perubatan, menunjukkan 'penggunaan antibiotik yang berlebihan'.

Penggunaan berlebihan selain penyalahgunaan antibiotik membantu mikrob menjadi kebal kepada banyak kaedah rawatan dan saintis menganggap ia salah satu ancaman terbesar kepada kesihatan global susulan kekurangan rawatan gantian.


(FOTO HIASAN/ REUTERS)

Penyelidikan terbaru yang akan dibentangkan pada Kongres Mikrobiologi Klinikal & Penyakit Berjangkit Eropah bulan depan di Copenhagen, membabitkan pesakit yang diuji positif melalui calitan pada hidung atau tekak untuk jangkitan virus seperti selesema, RSV atau COVID-19.

Mereka yang disahkan terkena jangkitan bakteria dikecualikan daripada analisis berkenaan.

Secara keseluruhan, 63 peratus daripada 2,111 pesakit menerima antibiotik untuk jangkitan pernafasan ketika berada di hospital.

Daripada jumlah itu, 168 orang pesakit meninggal dunia dalam tempoh 30 hari, yang mana hanya 22 orang tidak diberikan antibiotik.

Selepas mengambil kira faktor seperti jantina, umur, tahap penyakit dan penyakit sedia pada pesakit, penyelidik mendapati antibiotik yang diberikan ketika berada di hospital meningkatkan risiko kematian dua kali ganda dalam tempoh 30 hari berbanding mereka yang tidak diberi antibiotik.

Pasukan penyelidik turut mendapati, kebarangkalian pesakit dengan masalah kesihatan yang menghidap penyakit yang lebih teruk, berisiko tinggi mati walaupun diberikan antibiotik, lebih-lebih lagi jika pesakit adalah perokok.

"Doktor perlu berani untuk tidak memberikan antibiotik, bukannya meragui dan memberi antibiotik sebagai langkah berjaga-jaga," kata Dr Hovind. - REUTERS

Media Baharu