(Foto AFP)
NEW DELHI, 23 Julai- Angka kematian akibat tanah runtuh di Maharashtra India, meningkat kepada 27 orang dan sekurang-kurangnya 50 orang masih hilang.
Menurut pegawai, pasukan penyelamat bertungkus-lumus dalam cuaca hujan lebat.
Hujan lebat yang berterusan pada Khamis lalu, menyebabkan kejadian tanah runtuh di sebuah kampung daerah Raigad, kawasan berbukit dan hutan kira-kira 100 kilometer (km) dari Mumbai.
Pasukan kecemasan menggali timbunan tanah untuk mencari mangsa yang terperangkap.
Pegawai Penyelamat Raigad Yogesh Mhase memberitahu AFP, pelbagai cabaran dihadapi semasa melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian tersebut.
“Setakat ini, terdapat 27 mayat mangsa ditemukan dan kira-kira 50 hingga 60 orang masih hilang", katanya.
(Jalan berlumpur menuju ke lokasi tanah runtuh di perkampungan Irshalwadi
di daerah Raigad, Maharashtra India/AFP)
Mhase berkata perkampungan itu terletak kira-kira lima kilometer dari jalan raya terdekat.
“Sukar untuk membawa masuk jentera berat ke sini. Kami hanya mempunyai mesin kecil dan kebanyakan kerja perlu dilakukan secara manual.
"Hujan lebat tanpa henti di rantau ini juga menjadikan keseluruhan operasi lebih mencabar.
India telah dilanda hujan sejak permulaan musim tengkujuh pada bulan Jun, dan banjir serta tanah runtuh telah mengorbankan ramai orang.
Hujan monsun adalah penting untuk mengisi semula sungai dan air bawah tanah. Namun, kejadian banjir juga menyebabkan kemusnahan besar setiap tahun.
Pakar berkata perubahan iklim meningkatkan kekerapan cuaca ekstrem di seluruh dunia, dengan penebangan hutan dan pembangunan di India memburukkan lagi keadaan.-AFP