fb fb fb fb fb

3 orang cedera ditikam dalam keretapi di Jepun

(Foto hiasan)

TOKYO, 23 Julai- Tiga individu mengalami kecederaan selepas ditikam menggunakan pisau dalam sebuah keretapi di barat Jepun. Susulan kejadian, polis telah menahan seorang suspek bagi membantu siasatan.

Pegawai Bomba, Tetsuya Sakagami berkata ketiga-tiga mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke hospital.

Mangsa merupakan seorang konduktor kereta api berusia 20-an dan dua penumpang lelaki masing-masing berusia 20-an dan 70-an.

Sementara itu, polis memberitahu, suspek seorang lelaki berusia 37 tahun yang bersenjatakan tiga bilah pisau, ditahan di stesen Bandar Rinku di wilayah Osaka.

Suspek ditahan kerana cubaan membunuh dan mengaku melakukan serangan pada pagi Ahad.Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan.

Jenayah keganasan jarang berlaku di Jepun yang mempunyai kadar jenayah yang rendah dan beberapa undang-undang senjata api paling ketat di dunia.

Bagaimanapun, kadangkala berlakunya kes tikaman dan tembakan, ini termasuk pembunuhan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe tahun lepas.

Pada 2021, seorang lelaki berusia 24 tahun didakwa menikam seorang penumpang dan menjadi punca kebakaran kereta api di Tokyo ketika perayaan Halloween, dengan memakai pakaian yang menyerupai watak jahat dalam komik Joker.

Keputusan kes tersebut akan ditentukan pada 31 Julai.-AFP


(Foto hiasan)

Media Baharu