fb fb fb fb fb

Lima orang maut, tanaman musnah di timur China

(Foto AFP)

BEIJING, 23 Julai– Lima orang maut dan dua hilang, selepas hujan lebat melanda sebuah kampung berhampiran bandar Hangzhou di timur China.

Kejadian itu menyebabkan kediaman di kampung berkenaan ditenggelami banjir serta turut menghanyutkan penduduk dan barangan mereka.

Gambar yang diterbitkan oleh Beijing Youth Daily menunjukkan lumpur memenuhi jalan raya di sebuah kampung di bandar Dayuan dan memasuki kawasan perumahan serta kenderaan terbalik.

Media negara itu, melaporkan hujan lebat menyebabkan banjir di bahagian timur laut China serta merosakkan berpuluh-puluh rumah dan memusnahkan tanaman di wilayah yang menjadi pengeluar hasil tanaman utama negara itu.


(Orang ramai meredah jalan yang dinaiki air
selepas hujan lebat di Shanghai/AFP)

CCTV memaklumkan pihak berkuasa telah memindahkan hampir 5,600 orang di wilayah Liaoning, selepas beberapa buah bandar menerima hujan lebih 100 milimeter. Satu daerah di ibu kota wilayah Dalian menerima 93 milimeter hujan dalam masa sejam.

Kementerian Pertanian China berkata sebahagian kawasan timur laut telah dilanda kemarau pada Mei dan Jun, tetapi hujan baru-baru ini. Kira-kira 54 hektar tanaman musnah di kawasan sekitar Jinzhou dan bandar Huludao.

"Masih terdapat risiko kepada tanaman tempatan, terutamanya jagung dan kacang soya. Trend cuaca El Nino tahun ini berkemungkinan mencetuskan cuaca yang lebih ekstrem", katanya.

Lebih banyak hujan lebat dijangka pada hari ini yang melibatkan sebahagian besar negara itu, termasuk ribut dan angin kencang di bahagian timur laut dan selatan wilayah Jiangxi dan Fujian.

China biasanya mengalami hujan lebat pada akhir Julai, tetapi ribut menjadi lebih kuat dan sukar diramalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.-REUTERS



Media Baharu