(FOTO AFP)
COTABATO, 29 Oktober - Angka korban akibat tanah runtuh dan banjir di selatan Filipina meningkat kepada sekurang-kurangnya 67 orang berbanding 31 petang semalam, kata seorang pegawai bencana.
Ribut kencang mengakibatkan banjir kilat menghanyutkan pokok tumbang, batu dan lumpur semalaman di sembilan bandar sekitar Cotabato di pulau Mindanao yang mempunyai 300,000 penduduk.
"Ramai penduduk terkejut apabila air banjir naik dengan cepat sebelum subuh,' kata jurucakap dan Ketua Pertahanan Awam bagi kerajaan wilayah, Naguib Sinarimbo kepada AFP.
Sinarimbo berkata 27 maut di pekan Datu Odin Sinsuat, termasuk 11 dari perkampungan pergunungan yang tertimbus lumpur, manakala 10 maut di pekan Datu Blah Sinsuat dan lima maut di pekan Upi.
Pasukan petugas yang menaiki bot getah telah menyelamatkan penduduk yang berkumpul di bumbung rumah, kata Sinarimbo, sambil menambah 16 orang hilang di wilayah itu.
Air banjir telah surut di beberapa kawasan, tetapi Cotabato kekal hampir keseluruhannya masih dinaiki air.
Sinarimbo berkata mungkin terdapat lebih banyak banjir dalam beberapa jam akan datang kerana hujan lebat di kawasan pergunungan yang mengelilingi lembangan sungai Cotabato.
(Angka korban akibat tanah runtuh dan banjir di selatan Filipina meningkat/AFP)
“Tumpuan kami ketika ini ialah menyelamat dan menyediakan dapur komuniti untuk mangsa yang terselamat,” katanya.
Tentera mengerahkan traknya untuk mengumpul penduduk yang terkandas di Cotabato dan bandar berdekatan, kata Ketua Pertahanan Awam Wilayah Nasrullah Imam.
"Sungguh terkejut melihat Majlis Perbandaran yang tidak pernah dilanda banjir kali ini," kata Imam, sambil menambah bahawa beberapa keluarga telah hanyut apabila air melanda rumah mereka.
Hujan lebat bermula lewat Khamis di wilayah miskin itu.
Pejabat cuaca di Manila berkata hujan lebat itu sebahagiannya berpunca daripada Ribut Tropika Nalgae, yang dijangka bertambah kuat ketika mendarat malam ini.
Nalgae sedang menuju ke barat laut dengan angin maksimum 85 kilometer sejam dan boleh melanda pulau Samar atau Semenanjung Bicol di selatan Luzon awal Sabtu. -AFP