fb fb fb fb fb

Angka korban gempa bumi di Turkiye dan Syria terus meningkat

(FOTO AFP)

ANTAKYA, 9 Februari- Anggota pasukan mencari dan menyelamat dilaporkan masih bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa daripada runtuhan gempa bumi yang kini sudah mengorbankan lebih 11,200 orang di Turkiye dan Syria.

Operasi masih diteruskan meskipun ruang bagi menyelamatkan lebih banyak mangsa semakin tipis.

Ribuan anggota pasukan operasi masih meneruskan kerja menyelamat mangsa yang tersepit di bawah bangunan runtuh selama dua hari berturut-turut sejak gempa berukuran 7.8 magnitud melanda negara itu di bawah suhu sejuk melampau di kedua-dua sempadan.

Ketua Bulan Sabit Merah Turkiye, Kerem Kinik, sebelum ini memberi amaran tempoh 72 jam pertama adalah kritikal dalam usaha mencari dan menyelamat dengan keadaan cuaca yang teruk.

Anggota penyelamat hari ini masih menyelamatkan beberapa kanak-kanak yang ditemui di bawah bangunan runtuh di wilayah Hatay, Turkiye yang teruk dilanda bencana itu.

Seorang daripada anggota pasukan penyelamat, Alperen Cetinkaya, berkata saat paling bermakna apabila beliau dapat mendengar suara mangsa terselamat di sebalik runtuhan ketika operasi dijalankan.

"Tiba-tiba kami dengar suara ketika jengkaut mengorek sisa runtuhan, kami dengar suara tiga mangsa pada masa yang sama.

"Kami menjangkakan lebih ramai lagi, peluang adalah sangat tinggi untuk membawa mangsa keluar dari sini dengan selamat," katanya.

Menurut pihak berkuasa dan pegawai perubatan, seramai 8,574 mangsa korban dilaporkan di Turkiye dan 2,662 di Syria daripada gempa bumi Isnin lalu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 11,236.

Pakar menjangkakan jumlah itu bagaimanapun dikhuatiri boleh meningkat sehingga dua kali ganda.


(Saudara-mara mangsa berdiri di sebelah runtuhan bangunan yang runtuh di bandar Kahramanmaras
di tenggara Turki, pada Rabu, dua hari selepas gempa bumi kuat melanda wilayah itu/ AFP)

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran masa semakin suntuk bagi melengkapkan operasi menyelamat berikutan ribuan mangsa cedera dan masih ramai yang terperangkap.

Malah, keadaan ribut musim sejuk menambahkan lagi kesukaran dengan menyebabkan banyak jalan raya rosak akibat gempa sehingga hampir tidak dapat dilalui.

Ia sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas sehingga menjangkau beberapa kilometer di beberapa wilayah.

WHO juga memberi amaran sehingga 23 juta orang mungkin terjejas akibat gempa bumi besar itu dan menggesa negara luar untuk segera membantu ke zon bencana.

Susulan itu, negara Kesatuan Eropah (EU) bertindak pantas dengan menghantar pasukan penyelamat ke Turkiye selepas bencana yang berlaku berhampiran sempadan Syria.

Sempadan Turkiye-Syria adalah salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia.

Gempa bumi itu dilaporkan adalah yang terbesar pernah dilihat di Turkiye sejak 1939 apabila 33,000 orang maut di wilayah timur Erzincan.

Pada 1999, gempa bumi berukuran 7.4 magnitud turut membunuh lebih daripada 17,000 orang.

Sebelum ini, beberapa pakar memberi amaran bahawa gempa besar boleh memusnahkan Istanbul iaitu sebuah bandar dengan populasi seramai 16 juta orang yang dipenuhi dengan kediaman di mana pembinaannya berstruktur lemah. - AFP

Media Baharu