GAZA, 4 September - Angka kematian akibat serangan Zionis Israel di sini meningkat lebih 63,000 mangsa.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan 63,746 rakyat Palestin terkorban, manakala 161,245 lagi cedera sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Hanya dalam tempoh 24 jam, tentera Zionis telah membunuh 113 lagi nyawa dan mencederakan 304 yang lain.
Daripada jumlah itu, 33 terbunuh dan 141 cedera ketika berusaha mendapatkan bekalan bantuan kemanusian.
Dalam tempoh sama, enam maut termasuk kanak-kanak akibat kebuluran dan malnutrisi, kata kementerian.
Sementara itu, ribuan rakyat Palestin terus menjadi pelarian di tanah air sendiri.
Mereka dipaksa berpindah ke pesisiran pantai al-Mawasi di Khan Younis, di tengah-tengah serangan berterusan Israel yang tidak mungkin bernoktah.
Tentera Zionis telah meningkatkan serangan maut di sekitar bandar Gaza, melancarkan peluru terhadap kejiranan Zeitoun, Sheikh Radwan, Sabra serta sekitar Jabalia.
Di sebelah utara Gaza, sejuta rakyat Palestin berdepan kesukaran untuk hidup dengan perumahan yang tidak lagi sesuai didiami, menyaksikan ribuan terpaksa berpindah-randah. - REUTERS